Ahad, 8 March 2020 | 4:42pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Tidak wajib solat Jumaat jika khuatir dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR: Individu yang bergejala seperti batuk, selsema dan demam serta khuatir dijangkiti COVID-19, dinasihatkan untuk tidak menunaikan solat berjemaah di masjid.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, menjelaskan individu terbabit tidak wajib untuk menunaikan solat fardu atau solat Jumaat di masjid, jika bimbang akan menjangkiti orang lain.

“Ada beberapa perkara boleh dipanggil uzur diizinkan syarak, yang membolehkan kita tidak mengerjakan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat, antaranya ialah sakit atau berada dalam keadaan takut.

“Orang yang sakit, khususnya dijangkiti coronavirus tidak wajib pergi ke masjid. Itu jelas.

“Takut pula ada pelbagai jenis, termasuklah mereka yang takut menyebabkan orang lain dijangkiti penyakitnya, khususnya dalam situasi negara dilanda wabak ketika ini. Keadaan ini dibolehkan syarak untuk tidak hadir solat jemaah, termasuk solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar membangkitkan kerisauan kemungkinan COVID-19 boleh tersebar luas jika individu dijangkiti, namun belum disahkan positif, menunaikan solat jemaah di masjid, seperti solat Jumaat dan majlis keagamaan.

Kebimbangan itu adalah berdasarkan penularan coronavirus membabitkan individu ke-26 dijangkiti COVID-19 di negara ini, yang mewujudkan kluster jangkitan dengan lebih 40 individu yang positif dikaitkan dengannya.

Sehubungan itu, Sazaly menyarankan individu bergejala supaya menunaikan solat pada saf di belakang, atau diasingkan daripada jemaah lain.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menyarankan individu bergejala yang mahu solat berjemaah di masjid, melaksanakan ibadah itu sambil memakai topeng muka.

Jelasnya, perkara itu dibenarkan dan tidak membatalkan solat, selain dibenarkan syarak bagi menjaga dan mengawal daripada penularan wabak.

Katanya, mereka yang bergejala namun belum disahkan positif, tidak boleh diasingkan kerana sebarang hukum tidak boleh dibuat secara andaian.

“Kalau yang sudah disahkan positif coronavirus, dia tak perlu pergi solat Jumaat atau solat fardu di masjid kerana kita tidak mahu wabak itu merebak.

“Namun, tidak boleh kita letak mereka yang bergejala dalam saf berasingan jika masih belum positif dan bersifat andaian. Mereka yang disyaki juga akan dikuarantin.

“Jika individu bergejala khuatir, mereka boleh memakai topeng muka sambil solat sebagai langkah penjagaan dan pengawalan,” katanya.

Berita Harian X