Isnin, 16 March 2020 | 11:53am
Planetarium Negara.
Planetarium Negara.

COVID-19: Planetarium, Pusat Sains Negara ditutup sementara

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini mengarahkan penutupan sementara Pusat Sains Negara (PSN) dan Planetarium Negara (PN) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan, tindakan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga terutama ketika musim cuti sekolah ketika ini.

Kata kementerian lagi, menteri bertanggungjawab turut mengarahkan agar PSN dan PN tidak menerima kunjungan orang ramai mulai awal pagi ini.

Semua warga MOSTI termasuk warga PSN dan PN juga diingatkan agar mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard SOP pengawalan penularan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan oleh semua pihak pada setiap masa dan sekiranya mengalami gejala jangkitan, diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan.

“Perkembangan terkini jangkitan COVID-19 boleh diperoleh melalui laman web rasmi KKM. MOSTI mengambil berat penularan COVID-19 dan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani gejala ini,” kata kementerian lagi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X