Rabu, 25 March 2020 | 12:38pm
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar.
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar.

COVID-19: PKP perlu dilanjutkan, kawalan lebih ketat - pakar virus

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini wajar dilanjutkan bagi mengekang penularan COVID-19 membabitkan pesakit tidak bergejala.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata penelitian semasa terhadap kadar penularan wabak itu di Malaysia ketika ini menyaksikan setiap satu pesakit COVID-19 akan menjangkiti tiga individu yang tidak mempunyai gejala seperti, batuk, selesema, sesak nafas dan demam.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan, penularan COVID-19 akan ‘meletup’ dan mencetuskan gelombang ketiga berskala tsunami, melalui jangkitan dalam kalangan pesakit yang tidak mempunyai gejala sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan PKP.

“Kita kena ambil kira sosiologi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa, bahawa mereka akan rasa ‘merdeka’ sebaik saja kerajaan mengumumkan PKP tidak dilanjutkan, justeru keadaan kembali seperti biasa pada 1 April.

“Maka, ramailah yang bersidai di kedai mamak, merayap dan mungkin juga bercuti semata-mata nak meraikan kejayaan mengharungi PKP, sekali gus menyaksikan penjarakkan sosial langsung tidak diendahkan.

“Individu yang tidak mempunyai gejala pula akan rasa mereka bebas daripada COVID-19 dan turut sama dalam perayaan ini sehingga menjangkiti orang lain tanpa disedari.

“Apabila kerajaan sedar berlaku peningkatan kes COVID-19 secara tiba-tiba, masa itu sudah terlalu lambat untuk kita bendung,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini dilaporkan berkata keputusan sama ada untuk menamatkan PKP, bersandarkan tahap penularan setakat minggu kedua perintah berkenaan akan diputuskan pada 30 Mac ini.

Sekiranya PKP dilanjutkan, Sazaly mencadangkan supaya pasukan perubatan mengendalikan ‘rapid test’ atau ujian saringan COVID-19 secara pantas terhadap komuniti yang mendiami kawasan ‘panas’ seperti Petaling Jaya, Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong, Cheras dan Putrajaya.

Beliau menaruh keyakinan mekanisme saringan itu lebih berkesan, berpandukan saiz komuniti, masa dan keselamatan petugas perubatan, selain murah berbanding kaedah Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Berdasarkan harga di pasaran, katanya, ‘rapid test’ hanya bernilai sekitar RM40 untuk sekali ujian, manakala RT-PCR adalah lapan kali ganda lebih mahal, iaitu sekurang-kurangnya RM300.

“Masuk ke ‘kawasan panas’ ini dan tubuhkan pusat pemeriksaan yang ditutupi penghadang plastik, tetapi hanya buka satu lubang sebesar saiz jari untuk mengambil sampel darah setiap individu.

“Menerusi cara ini, keselamatan petugas kesihatan dapat dijaga, manakala proses dikendalikan secara teratur dengan menjaga jarak sosial dengan penduduk di ‘kawasan panas’.

“Rapid test boleh diulang, sekurang-kurangnya pada minggu kelima selepas kali pertama ia dilakukan kerana ketika itu, sistem pertahanan badan mula menunjukkan tindak balas terhadap serangan virus, sekali gus memberikan petanda positif pada ujian.

“PKP ini ibarat perang, tetapi tidak berguna sekiranya kita tidak melakukan ‘serangan’ dengan pergi ke kawasan panas kes COVID-19 dan melakukan saringan secara besar-besaran,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X