Rabu, 25 March 2020 | 8:51pm
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Penggunaan ubat antiviral Favipiravir untuk COVID-19 perlu dikaji - KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan KKM) mempertimbang penggunaan ubat antiviral Favipiravir bagi tujuan merawat pesakit positif COVID-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ubat berkenaan yang juga dikenali sebagai Avigan dari Jepun dan Fuhaikang dari China, tidak didaftarkan di negara ini.

“Kita (KKM) boleh luluskan, bagaimanapun ubat itu kita kena kaji sebab ada kesan sampingan. Jadi kita kena berhati-hati apabila kita gunakan ubat itu,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, yang menyarankan kerajaan membawa masuk ubat berkenaan bagi merawat pesakit COVID-19, berbanding menambah jumlah ventilator atau alat bantuan pernafasan di hospital.

Dr Noor Hisham berkata bermula Jumaat ini KKM menyasarkan 16,000 sampel dapat dilakukan menerusi kit ujian sehari, sekali gus meningkatkan keupayaan memperluaskan saringan ujian secara besar-besaran.

Beliau pada masa sama, menafikan laporan penyelidikan JP Morgan yang menjangkakan Malaysia akan mencapai kemuncak kes COVID -19 membabitkan kira-kira 6,000 kes pada pertengahan April.

Katanya, ia mengambil kira tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan kerajaan sehingga 14 April depan seperti diumumkan Perdana Menteri hari ini .

”Kita sudah melaksanakan aktiviti awam dan penambahan tempoh PKP. Kita harap dapat mengesan dan pastikan kes positif COVID-19 dapat diasingkan dan diberi rawatan.

“Melalui tindakan ini KKM dapat mengurangkan kes positif dan tidak mencapai 6,000 kes (seperti dijangkakan penyelidikan itu),” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya berusaha keras melandaikan graf jangkitan positif COVID-19 kerana bilangan kes positif masih dapat ditampung dengan fasiliti KKM.

Beliau berkata, setakat ini KKM menyediakan 3,400 katil dan sasaran kita mendapatkan 300 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan alat bantuan pernafasan dan sebagainya.

“KKM juga sudah meningkatkan usaha dengan menambah 1,892 unit katil di institut latihan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X