Sabtu, 28 March 2020 | 2:45pm
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan. - NSTP/Mohd Amin Jalil

i-Guru sambut baik pakej PRIHATIN

SEREMBAN: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diyakini, dapat membantu sektor pendidikan terutama warga guru yang menjadi penjawat awam paling ramai.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya memuji langkah kerajaan menyediakan pakej berkenaan kerana sedikit sebanyak membantu warga pendidik yang bertugas di pelbagai kategori sekolah di seluruh negara.

“Pakej itu sedikit sebanyak dapat membantu warga pendidik yang bertugas di sekolah persendirian, sekolah agama rakyat, pusat tahfiz persendirian yang rata-rata, gaji mereka antara RM900 hingga RM2,000.

“Mereka adalah kelompok terjejas dan memerlukan bantuan kerana sumber pendapatan mereka bergantung kepada yuran ibu bapa.

“i-Guru mengucapkan terima kasih di atas inisiatif ini dan berharap warga guru terus bersemangat di dalam mendidik anak bangsa serta yakin bantuan ini akan dapat menyuntik daya juang serta komitmen tidak berbelah bagi dalam memajukan pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, i-Guru juga berharap guru boleh memanfaatkan masa cuti ini dengan menyediakan rancangan pengajaran melalui aplikasi pembelajaran online, penyediaan modul latihan dan nota secara maya, supaya pelajar sentiasa dipantau serta diberikan akses pendidikan yang terbaik.

Mohd Azizee berkata, bantuan one-off RM500 untuk penjawat awam itu mampu meringankan beban kakitangan awam terutama dari kelompok B40 serta membantu sektor pendidikan terutama warga guru.

“Kami yakin pakej ini pastinya melegakan banyak pihak termasuk warga pendidik di semua peringkat pendidikan dalam mendepani dugaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X