Selasa, 31 March 2020 | 7:38pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: Operasi nyah cemar tidak ikut SOP KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui operasi nyah cemar dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pihaknya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kebanyakan operasi nyah cemar dilakukan tanpa merujuk kepada KKM.

“Mungkin selepas ini kita akan berkomunikasi dan berhubung dengan pihak terbabit serta memberi panduan untuk kerja pembersihan atau nyah cemar di kawasan berkenaan. Selain itu kita juga akan nasihatkan pihak terbabit apa yang boleh dibuat, dan tidak boleh dibuat sepanjang proses terbabit.

“Mereka laksanakan lebih awal, KKM akan beri garis panduan contohnya menggunakan bahan kimia yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta laksanakan operasi terbabit,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman yang mempertikaikan proses nyah cemar yang dijalankan.

Dr Lokman dilaporkan berkata, beliau amat terkejut apabila melihat satu klip video baru-baru ini mengenai operasi nyah kuman apabila cecair disemburkan ke atas permukaan jalan raya.

Katanya, tindakan menyemburkan cecair nyah kuman di jalan raya itu sebagai satu pembaziran dan wang yang dikeluarkan itu lebih baik digunakan untuk membeli peralatan perlindungan diri (PPE).

“Apa sebenarnya yang mereka lakukan? Siapa yang menasihatkan mereka? Betul-betul membazir wang. Macam mana permukaan jalan raya boleh dicemari oleh virus? Apakah dengan cara orang ramai batuk ke atasnya beramai-ramai?

“Jika sekali pun permukaan jalan raya dicemari, bagaimana pula virus berkenaan boleh berada di muka? Apakah dengan cara mereka menyapu tangan di permukaan jalan dan kemudian menyentuh muka mereka?

“Apakah asas atau bukti di sebalik tindakan disinfeksi jalan raya itu? Ya, mungkin mereka boleh berkata bahawa mereka sekadar mengikut SOP, tapi siapa yang menyediakan SOP itu dan siapa yang mengesahkannya?” katanya yang dilaporkan sebuah portal berita.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X