Selasa, 31 March 2020 | 8:43pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri) pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri) pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Kesan COVID-19 dalam tempoh setengah jam

PUTRAJAYA: Malaysia sedang berbincang dengan Amerika Syarikat untuk menggunakan peralatan mengesan wabak COVID-19 dalam tempoh singkat seperti digunakan negara berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peralatan canggih itu sebenarnya dibuat di kilang di Pulau Pinang, namun disebabkan tidak ada kontrak dengan Amerika Syarikat, ia secara tidak langsung memberi halangan kepada Malaysia untuk memperoleh alatan sama.

“Kita dimaklumkan ada satu syarikat di Pulau Pinang mengeluarkan alatan perubatan canggih itu yang dapat mengesan COVID-19 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

“Tetapi kilang terbabit ada kontrak dengan Amerika Syarikat dan kita akan bincang (dengan negara terbabit) supaya Malaysia juga diberi peluang menggunakan peralatan terbabit,” katanya dalam sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak 39,663 ujian pengesanan COVID-19 sudah dilaksanakan, daripada jumlah itu sehingga semalam sebanyak 2,626 individu positif wabak berkenaan.

“Individu yang negatif ialah sebanyak 28,580, manakala masih menunggu keputusan sama ada mereka dijangkiti COVID-19 atau tidak ialah sebanyak 8,457 individu,” katanya.

Sehingga kini KKM mempunyai 46 makmal yang berupaya melaksanakan 11,750 ujian COVID-19 sehari dan berharap jumlah berkenaan dapat dipertingkatkan kepada 16,500 ujian sehari.

Menerusi kaedah mengesan genetik virus atau rRT-PCR COVID-19 yang dijalankan, keputusan saringan mengambil masa antara 24 hingga 30 jam kerana ia perlu dihantar ke makmal ujian.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X