Khamis, 2 April 2020 | 5:04pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: RM21 juta bantu tahfiz, sekolah agama, pondok

KUALA LUMPUR: Dana bantuan secara one-off bernilai RM21 juta akan diberikan kepada pusat tahfiz swasta, sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan swasta yang berdaftar dengan pihak berwajib, termasuk tenaga pengajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bantuan diagih bagi meringankan beban mereka terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, akan diagih kepada dua kategori penerima.

Katanya, tenaga pengajar di institut pendidikan Islam akan menerima bantuan sara hidup dengan kadar RM800 seorang yang akan memberi manfaat kepada 22,920 guru.

“Bantuan pengurusan operasi bertujuan membiayai kos pengurusan, utiliti, sewaan dan perbelanjaan operasi lain pada kiraan RM10 per murid, kepada 2,119 institusi pendidikan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, bantuan itu daripada peruntukan RM100 juta yang disediakan kepada JAKIM di bawah Belanjawan 2020 bertujuan membiayai penyelenggaraan dan naik taraf institusi tahfiz, pondok dan sekolah agama berdaftar.

“Penghargaan ditujukan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, atas kelulusan bagi peruntukan berkenaan untuk tujuan itu.

“Besarlah harapan saya supaya bantuan ini dapat meringankan beban warga institusi pendidikan Islam yang terjejas akibat PKP,” katanya.

Beliau berkata, COVID-19 dan arahan PKP yang dilaksana sehingga kini memberi kesan sedikit sebanyak kepada guru di institusi pendidikan Islam terutamanya dari sudut pengurusan operasi dan sara diri.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X