Jumaat, 3 April 2020 | 7:55pm
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

COVID-19: Dana bantuan memartabatkan institusi pendidikan agama

Seremban: “Dana bantuan itu membabitkan peruntukan besar dan adalah satu kepedulian bagi memartabatkan institusi pendidikan agama di negara kita.”

Demikian ditegaskan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berhubung pengumuman kerajaan memperuntukkan dana bantuan sekali bayar (one-off) bernilai RM21 juta kepada pusat tahfiz swasta, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat serta swasta yang berdaftar dengan pihak berwajib, termasuk tenaga pengajarnya.

Mohd Azizee berkata, peruntukan itu akan merangsang pihak terbabit untuk terus melaksanakan proses pengajaran bersesuaian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami yakin peruntukan besar itu akan dapat menyuntik semangat lebih tinggi kepada pengurusan sekolah, tenaga pengajar dan murid terbabit untuk memartabatkan pendidikan Islam di negara ini.

“Ia juga dapat melegakan warga pendidik di institusi berkenaan dan merangsang mereka terus melaksanakan tugas dengan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bantuan dana terbabit diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semalam.

Melalui dana itu, tenaga pengajar di institut pendidikan Islam terbabit akan menerima bantuan sara hidup RM800 seorang yang akan memberi manfaat kepada 22,920 guru.

Zulkifli dilaporkan sebagai berkata, bantuan pengurusan operasi bertujuan membiayai kos pengurusan, utiliti, sewaan dan perbelanjaan operasi lain pada kiraan RM10 per murid pula diberikan kepada 2,119 institusi pendidikan terbabit di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas bantuan itu.

Beliau yakin, dana bantuan berkenaan dapat meringankan beban akibat pandemik COVID-19 yang ditanggung guru dan pihak pentadbiran institusi berkenaan.

“I-Guru melalui Sekretariat Pendidikan Islam Malaysia akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi memastikan peruntukan ini sampai kepada pihak berkaitan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X