X
Sabtu, 4 April 2020 | 1:12pm
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

COVID-19: Bayaran BPN bermula Isnin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara berperingkat, mulai Isnin ini.

Pembayaran membabitkan peruntukan berjumlah RM5.63 bilion itu akan memberi manfaat kepada 8.3 juta isi rumah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pembayaran BPN dapat dilakukan dengan lebih cepat hasil kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu rakyat memerlukan.

“Saya ingin menasihati rakyat supaya berhati-hati dengan scammer mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan.

“Penerima disaran merujuk kepada sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

BPN adalah inisiatif untuk membantu rakyat seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion.

Dalam pengumuman berkenaan jumlah keseluruhan pembayaran BPN membabitkan RM9.24 bilion akan dibayar dalam dua fasa.

Bantuan secara one-off itu juga buat pertama kalinya disalurkan kepada kumpulan M40.

Menerusi BPN, kerajaan menggariskan empat kategori penerima bantuan.

Kategori pertama adalah kira-kira 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah yang akan menerima bantuan RM1,600 dengan bayaran RM1,000 akan dibayar pada Isnin ini dan baki RM600 pada Mei.

Bagi kategori kedua, hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 akan menerima bayaran RM1,000 membabitkan bayaran RM500 Isnin ini dan baki RM500 bulan depan.

Kategori ketiga adalah sekitar 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah yang akan menerima RM800 dengan bayaran RM500 untuk fasa pertama dan baki RM300 pada fasa kedua bulan depan.

Kategori keempat adalah 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas

yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000 yang menerima RM500 membabitkan bayaran sebanyak RM250 akan dibuat bermula Isnin ini dan baki RM250 pada Mei.

Berita Harian X