Sabtu, 4 April 2020 | 5:47pm

COVID-19: Kes positif kembali menyusut

KUALA LUMPUR: Kadar kes positif jangkitan wabak COVID-19 hari ini menyaksikan penyusutan apabila hanya membabitkan 150 orang, berbanding 217 orang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes harian itu menjadikan jumlah pesakit positif wabak berkenaan di negara ini meningkat kepada 3,483 kes.

“Daripada 150 kes ini, sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah ini, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Empat kematian baharu dilaporkan menjadikan 57 kematian atau 1.7% daripada keseluruhan kes COVID-19.
Empat kematian baharu dilaporkan menjadikan 57 kematian atau 1.7% daripada keseluruhan kes COVID-19.

Menerusi laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Dr Noor Hisham berkata, empat lagi kes kematian dicatatkan, menjadikan angka korban meningkat kepada 57 orang atau 1.64 peratus.

Katanya, kes kematian ke-54, iaitu kes ke-2,149 membabitkan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac lalu pada jam 12.10 tengah hari.

“Kes kematian ke-55 (kes ke-860) ialah perempuan warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 4 petang.

“Kes kematian ke-56 (kes ke-2850) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1031 dan dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 30 Mac lalu.

“Beliau disahkan meninggal dunia semalam pada jam jam 4.16 petang, manakala kes kematian ke-57 (kes ke-1,575) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada 23 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 10.25 malam,” katanya.

Memperincikan perkembangan positif, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 88 kes didapati bebas daripada COVID-19 dan dibenarkan pulang hari ini, sekali gus menjadikan jumlah yang pulih daripada wabak terbabit ialah 915 orang.

Menitipkan pesanan, beliau memohon orang ramai memberikan kerjasama kepada agensi berkaitan untuk memerangi penularan COVID-19 di Malaysia dalam tempoh dua minggu ini yang disifatkan sebagai penting bagi memutuskan rantaian wabak itu.

“Sehingga kini, kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkait dengan mereka yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling , iaitu 1,545 kes daripada keseluruhan 3,483 kes atau mewakili 44.36 peratus.

“Kluster ini ialah yang terbesar setakat ini dan mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan, misalnya membabitkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz,” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X