Sabtu, 4 April 2020 | 6:14pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bayangkan bakal ada gelombang ketiga kes COVID-19 jika tidak ditangani sebaiknya. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bayangkan bakal ada gelombang ketiga kes COVID-19 jika tidak ditangani sebaiknya. - Foto BERNAMA

COVID-19: Kes import undang gelombang ketiga

KUALA LUMPUR: Individu yang pulang dari luar negara dijangka berupaya mencetuskan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 pertengahan bulan ini jika tidak ditangani sebaiknya.

Menyedari kemungkinan gelombang ketiga itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menasihatkan kerajaan supaya menempatkan semua individu yang pulang dari luar negara sama ada menerusi pintu masuk darat, laut atau air, di pusat kuarantin.

Katanya, kementerian turut menjangkakan lebih ramai rakyat Malaysia dari luar negara, khususnya dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke tanah air, sekali gus mengundang risiko kes import COVID-19.

“Gelombang pertama COVID-19 di Malaysia adalah menerusi pelancong dari China, manakala gelombang kedua ialah kes diimport, justeru sekarang ini kita ambil pendirian untuk saring siapa sahaja yang masuk.

“Kalau ikutkan maklumat yang sedia ada, termasuk menerusi Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair), jumlah kemasukan mungkin sekitar 8,000 orang.

“Bagaimanapun, kita jangkakan perangkaan sebenar adalah lebih daripada itu kerana ia kini turut membabitkan penuntut IPT dari seluruh dunia yang ingin balik ke Malaysia.

“Jadi, kita kena kawal risiko kes import ini bagi mengelak ramalan peningkatan kes menjelang pertengahan bulan ini tidak menjadi kenyataan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Mengemukakan mekanisme kuarantin, Dr Noor Hisham berkata, pengasingan di setiap unit, dekat pusat kemudahan berkaitan akan dibuat berteraskan kohort atau kumpulan kecil.

Statistik saringan COVID-19 sehingga 4 April 2020.
Statistik saringan COVID-19 sehingga 4 April 2020.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan kerana setiap kumpulan kecil mempunyai corak pendedahan risiko jangkitan COVID-19 yang sama.

“Contohnya, kita tidak akan asingkan satu keluarga yang mempunyai tiga orang, sebaliknya mereka ditempatkan dalam sebuah bilik kerana masing-masing mempunyai corak pendedahan risiko jangkitan sama.

“Ingin ditekankan bahawa mereka tidak boleh bergaul bebas meskipun ditempatkan di pusat kuarantin yang sama kerana kita ingin kurangkan risiko jangkitan dengan menjaga penjarakan sosial.

“Oleh itu, semua harus kekal di bilik masing-masing ketika ditempatkan di pusat kuarantin selama 14 hari tempoh pengeraman, manakala semua makanan akan disediakan.

“Kita ambil purata 14 hari untuk tempoh pengeraman, meskipun ada satu atau dua kes yang menyaksikan ia lebih daripada itu, bermaksud gejala COVID-19 muncul pada hari ke-15 dan seterusnya,” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X