Sabtu, 4 April 2020 | 9:30pm
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

COVID-19: USM larang pelajar di India pulang?

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan melarang pelajar perubatan USM di Karnataka, India pulang ke negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mendakwa pengurusan kanan universiti itu tidak mempedulikan soal kebajikan dan keselamatan pelajar terbabit susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

“Usaha ibu bapa membawa pulang anak mereka menemui jalan buntu apabila difahamkan USM enggan memberi kebenaran kepada pelajarnya pulang ke tanah air.

“Ribuan pelancong di India boleh dibawa pulang, apa alasan tidak membenarkan pelajar kita pulang? Adakah takut pelajar ini membawa penyakit?

“Apakah USM risau perlu mengeluarkan kos yang tinggi? Jika ada masalah, saya ingin memaklumkan PPIM boleh bantu cari jalan penyelesaian. Jangan jadikan pelajar perubatan ini sebagai ‘tebusan’ di India,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadzim berkata, aduan lain diterima daripada ibu bapa terbabit ialah anak mereka dihidang makanan basi selain hidup dalam ketakutan.

“PPIM bimbang jika berlaku kekecohan seperti rusuhan akibat ketiadaan bahan makanan atau ketidakstabilan ekonomi di negara itu, siapa yang akan bertanggungjawab ke atas keselamatan pelajar berkenaan?

“Ibu bapa itu menyuarakan kebimbangan pelajar kehilangan biasiswa penajaan yang diberikan sebelum ini jika mereka dibawa pulang,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X