Isnin, 6 April 2020 | 9:07pm
Sebahagian pekerja Malaysia di Singapura berjalan kaki menyeberang Tambak Johor susulan tindakan kerajaan Singapura mengarahkan beberapa perkhidmatan di republik itu dihadkan, selain menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan bermula esok. - Foto BERNAMA

Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mula tiba di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, sejak 5.30 petang tadi.
Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mula tiba di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, sejak 5.30 petang tadi.

COVID-19: Ratusan pekerja Malaysia menyeberang Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Ratusan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mula tiba di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, sejak 5.30 petang tadi.

Kepulangan mereka susulan tindakan kerajaan Singapura mengarahkan beberapa perkhidmatan di republik itu dihadkan, selain menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan bermula esok bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pembantu Produksi Sektor Elektrik di Singapura, Nur Hamidah Jamal, 30, berkata beliau bersama puluhan rakyat Malaysia mulai berjalan kaki meninggalkan republik itu sejak 4.30 petang tadi.

Katanya, beliau mengambil masa kira-kira satu jam melintasi berjalan melintasi Tambak Johor kerana terpaksa membawa beberapa beg dan barangan peribadi lain.

“Selalunya saya hanya mengambil masa 20 minit berjalan melintasi Tambak Johor tetapi hari ini agak perlahan disebabkan membawa barangan dan beg.

Pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dilihat berjalan kaki di Tambak Johor meninggalkan Singapura. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dilihat berjalan kaki di Tambak Johor meninggalkan Singapura. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

“Sejurus tiba di CIQ BSI tadi, saya beratur lebih dua jam bagi melepasi pemeriksaan pihak berkuasa Malaysia termasuk disaring alat pengukur suhu thermal.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang pulang ke Malaysia wajib mengemukakan borang pengisytiharan keluar Singapura, selain sijil kesihatan yang mengesahkan diri sihat dan tiada simptom apa-apa penyakit sebelum dibenarkan melepasi pemeriksaan.

“Alhamdulilah, jam 7 tadi saya dibenarkan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa Malaysia. Dapatlah saya lepaskan kerinduan pada anak-anak dan suami yang sudah 20 hari saya tinggalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, ” katanya ketika dihubungi.

NSTP hari ini melaporkan ribuan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura mula bergerak balik hari ini dengan berjalan kaki merentasi Tambak Johor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi dilaporkan berkata, puluhan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia tidak dibenarkan berbuat demikian.

Ia selagi rundingan di antara Menteri Luar kedua-dua negara yang dijadualkan diadakan esok belum mencapai kata sepakat tentang langkah keselamatan yang perlu diambil.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X