Rabu, 8 April 2020 | 2:57pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

COVID-19: Daftar tabung bantuan dengan MOF

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan setiap tabung yang diwujudkan untuk membantu meringankan beban serta mengekang penularan coronavirus (COVID-19) perlu didaftarkan dengan Kementerian Kewangan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika mengemukakan pendirian itu berkata, ia bagi memastikan setiap sumbangan mendapat manfaat pengecualian cukai seperti dijanjikan kerajaan.

Katanya, langkah sedemikian juga adalah sebahagian insentif penghargaan yang diberikan kepada penyumbang selepas mereka tampil membantu menghulurkan bantuan kewangan dan pelbagai peralatan berkaitan kepada petugas barisan hadapan.

“Selain tabung rasmi, iaitu Tabung COVID-19 (yang ditubuhkan kerajaan), ramai rakyat Malaysia prihatin dengan kelompok yang memerlukan bantuan.

“Justeru, ada juga beri sumbangan berupa topeng muka, pakaian perlindungan peribadi (PPE) dan sebagainya.

“Oleh itu, banyak tabung yang diwujudkan untuk tujuan sebegini. Kerajaan cadangkan setiap tabung ini didaftarkan dengan Kementerian Kewangan supaya insentif pengecualian cukai dapat diberikan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan turut menjelaskan peruntukan sebanyak RM9.06 juta daripada Tabung COVID-19 akan disalurkan ke Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Katanya, penyaluran peruntukan fasa kedua itu bertujuan meningkatkan kemampuan kedua-dua agensi dalam mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara.

"Setakat semalam, Tabung COVID-19 menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM22.66 juta," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X