Selasa, 14 April 2020 | 7:14pm

COVID-19: Lima makmal baharu dibina dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Lima makmal baharu akan dibuka bagi meningkatkan kapasiti saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lima makmal itu dijangka dibina di Tawau dan Sandakan, Sabah; Miri dan Bintulu, Sarawak serta Kluang, Johor dalam tempoh terdekat.

Ketika ini katanya, Malaysia mempunyai 43 makmal di seluruh negara yang mampu menampung kapasiti 11,500 saringan rRT-PCR.

"Lebih penting bagi kita adalah untuk mengoptimumkan makmal kerana banyak kes belum selesai dan memerlukan sekurang-kurangnya enam jam. Kalau kes bertambah jadi laporan akan lambat antara 24 hingga 48 jam.

"Justeru, terkini kita gunakan rRT-PCR ketika diagnosis virus ini. Bagaimanapun, teknik antibodi serologi digunakan ke atas kontak rapat pada hari ke-13 mereka dikuarantin," katanya pada sidang media di sini, di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil penggunaan teknik antibodi serologi adalah lebih cepat dan mudah, berbanding rRT-PCR.

"Jika antibodi serologi dia (individu kontak rapat) positif kemudian kena saring semula guna rRT-PCR. Kaedah ini boleh jimatkan penggunaan rRT-PCR di makmal," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketika ini, Malaysia mempunyai 43 makmal di seluruh negara yang mampu menampung kapasiti 11,500 saringan rRT-PCR. - Foto hiasan
    Ketika ini, Malaysia mempunyai 43 makmal di seluruh negara yang mampu menampung kapasiti 11,500 saringan rRT-PCR. - Foto hiasan
    Berita Harian X