Khamis, 16 April 2020 | 9:28pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

COVID-19: Sampel guna kit ujian kesan antigen tak perlu ke makmal

PUTRAJAYA: Penggunaan kit ujian pengesanan antigen yang diperoleh dari Korea Selatan bakal membolehkan ujian secara besar-besaran dilakukan selepas ini.

Ia berikutan sampel menggunakan kit berkenaan tidak lagi perlu dihantar ke makmal untuk ujian dijalankan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan kit ujian antigen itu selepas didapati ia berkesan mengenal pasti jangkitan COVID-19.

Berdasarkan ujian yang dilakukan, katanya, sensitiviti kit berkenaan adalah pada kadar 100 peratus.

“Apa yang lebih penting, sampel tidak perlu dihantar ke makmal kerana ujian boleh dilakukan di fasiliti kesihatan sama ada klinik atau hospital.

“Kita harap jika kit ini boleh diperoleh minggu depan, kita akan melakukan ujian saringan secara besar-besaran.

“Sekarang pun kita dah buat saringan tetapi selepas ini boleh lakukan untuk kumpulan sasar atau lokasi serta kumpulan berisiko tinggi,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) hanya akan diigunakan sebagai pelengkap sekiranya timbul isu tertentu.

Pada 28 Mac lalu, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, KKM sudah menerima kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan bagi mengesahkan jangkitan Covid-19 setiap penghidap.

Beliau dilaporkan berkata, jumlah kit ujian pengesanan antigen itu akan ditambah 200,000 unit jika terbukti berkesan dengan setiap unit kit itu bernilai antara AS$5 hingga AS$6 (antara RM21.64 hingga RM25.97).

Antigen ialah ubat atau bahan (protein) yang disuntik ke dalam tubuh bagi merangsang pengeluaran antibodi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X