Jumaat, 17 April 2020 | 11:06pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

COVID-19: TEKUN Nasional jadi pemudah cara permohonan CBRM

KUALA LUMPUR: TEKUN Nasional menjadi pemudah cara untuk permohonan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) bagi usahawan yang terjejas akibat COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata justeru permohonan dalam talian diwujudkan mulai semalam bagi memudahkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Usahawan boleh membuat permohonan dengan mengisinya di http://fas.tekun.gov.my/cbrm/,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hanya dokumen yang minimum perlu disertakan dalam permohonan berkenaan.

Dokumen terbabit ialah borang penzahiran (declaration) yang ditandatangani dan penyata bank terkini (satu bulan); salinan MyKad pemohon dan pasangan; lesen perniagaan SSM/PBT/dokumen lain yang mengesah perniagaan; serta salinan salah satu bil utiliti.

Bagaimanapun, berlaku kelewatan kelulusan permohonan atas beberapa faktor.

Antaranya, dokumen permohonan tidak disertakan; maklumat borang permohonan yang tidak lengkap; permohonan bertindih (pemohon mengemukakan permohonan CBRM lebih daripada sekali); dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meminimumkan pergerakan, terutama kakitangan TEKUN Nasional di cawangan.

Pemohon perlu ke pejabat TEKUN cawangan bagi menandatangani surat perjanjian apabila permohonan pinjaman diluluskan.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa syarat terlalu ketat dikenakan terhadap PKS yang terjejas akibat COVID-19 sehingga menyukarkan pihak terbabit membuat pinjaman melalui Kemudahan Bantuan Khas (KBK) berkenaan.

Menjelaskan lanjut, Wan Junaidi berkata, permohonan secara dalam talian diwujudkan untuk CBRM yang lebih mesra usahawan.

“Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi skim ini. Setakat hari ini, TEKUN Nasional menerima sebanyak 7,681 permohonan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X