Sabtu, 18 April 2020 | 5:00pm

Selangor lancar GRAB Selangor, Platform Selangor niaga juadah Ramadan

SHAH ALAM: Peniaga di Selangor masih berpeluang mendapatkan pendapatan tambahan pada Ramadan apabila kerajaan negeri memperkenalkan dua platform e-dagang khas sempena Ramadan iaitu GRAB Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti 77 pusat pengumpulan yang terdiri daripada 10 dewan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.

Malah, katanya, untuk menggalakkan penyertaan peniaga ke dalam program berkenaan sekali gus meringankan beban kewangan mereka, kerajaan negeri menawarkan pembiayaan mudah tanpa faedah kepada peniaga kecil yang layak dengan pembiayaan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 melalui dana HIJRAH Selangor.

“Semua pusat (pengumpulan) ini akan mematuhi penjarakan sosial dan amalan kebersihan yang ketat sementara peniaga juga perlu mendapat suntikan pelalian tifoid seperti yang digariskan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PBT.

“Kerajaan negeri juga ingin menegaskan bahawa konsep ‘e-kitchen’ ini hanya berfungsi sebagai pusat pengumpulan sahaja. Tiada sebarang aktiviti memasak akan dibuat di pusat itu.

“Pembelian secara terus (walk in) juga tidak dibenarkan sebaliknya juadah akan dihantar oleh rakan penghantar makanan seperti GRAB, BungkusIt, Mr. Speedy, Zepto Express dan MatDespatch,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri turut menyediakan Insentif Digitalisasi sebanyak RM600,000 bagi menggalakkan peniaga menyertai program berkenaan.

“Justeru, dengan pengumuman ini, kita mengalu-alukan penyertaan wakil ‘e-hailing’ yang lain serta pemilik dewan atau fasiliti yang bersesuaian untuk pelaksanaan PLATS menghubungi HIJRAH, PLATS atau GRAB.

“Selain itu, kita juga menegaskan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk penganjuran program e-bazar Ramadan Selangor yang lain bagi mengelakkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas inisiatif yang diumumkan ini,” katanya.

Semalam, Amirudin memaklumkan kerajaan Selangor akan meneruskan e-bazar Ramadan dengan memastikan penjarakan sosial dilakukan dalam pelbagai keadaan.

Menurutnya, beliau yakin konsep itu boleh diteruskan di Selangor tetapi perlu mengekalkan disiplin serta kawalan sedia ada.

Berita Harian X