Isnin, 20 April 2020 | 8:17pm

COVID-19 : KKM pertimbang jalankan ujian antibodi di kawasan setempat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk menjalankan ujian antibodi di kawasan setempat bagi mengkaji bilangan dalam komuniti itu yang dijangkiti wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian itu bagaimanapun bukan diagnosis, sebaliknya mengesan berapa ramai dalam kalangan komuniti yang dijangkiti tetapi tidak dikenal pasti.

Katanya, KKM sudah mempunyai taburan kumulatif kes positif COVID-19 mengikut zon.

“KKM sedang mempertimbangkan untuk menjalankan kajian itu di Zon Merah.

“Jika mereka terdedah kepada virus itu, antibodi akan terbina dalam tempoh seminggu iaitu IgM dan IgG, kita nak tahu berapa ramai di Zon Merah yang dijangkiti tetapi tidak dikesan.

“Jadi ini mungkin kajian baik yang boleh dipertimbangkan dan mungkin masa yang sesuai untuk kita laksanakan ujian itu.

“Ujian itu menggunakan kit ujian antibodi yang cepat dan membolehkan kita mengukur antibodi. Kita cuma perlukan setitis darah,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, apa yang perlu dilihat ialah bagaimana kajian itu boleh dilaksanakan.Antara langkah boleh diambil, katanya, termasuk bagi KKM mengadakan kerjasama rapat dengan pihak klinik swasta untuk mengumpul data terkini dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, sebelum ini, yang menyatakan KKM perlu mengadakan saringan mengesan antibodi terhadap sejumlah orang awam secara rawak di seluruh negara bagi mengetahui kadar jangkitan COVID-19 dalam komuniti.

Saranan Dr Sazaly itu adalah untuk membolehkan peratusan individu positif COVID-19 tetapi tidak bergejala dalam komuniti diketahui, sebagai persiapan kerajaan, pihak industri, institusi pendidikan dan lain lagi berdepan penularan semula COVID-19 pasca PKP.

Katanya, ia bagi mengelak seperti yang berlaku di Jepun yang menarik balik perintah berkurung sebelum ini sebelum wabak COVID-19 kembali menular.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X