Rabu, 29 April 2020 | 4:33pm
COVID-19
COVID-19

COVID-19: Syarikat naungan AIM hasil vaksin, kit ujian

KUALA LUMPUR: Lima syarikat kini dalam pelbagai fasa bagi mengetengahkan produk perubatan untuk pengesanan virus dan klinikal, selain merintis usaha penyelidikan vaksin COVID-19.

Syarikat itu merangkumi Twin Catalyst Sdn Bhd, TTMC Sdn Bhd, Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (Mediven), Biogenes Technologies Sdn Bhd dan IN3Bio.

Empat perusahaan itu adalah syarikat Program Berimpak Tinggi 2 (HIP2) naungan PlaTCOM Ventures Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Agensi Inovasi Malaysia (AIM), manakala satu lagi ialah syarikat pelaburan utamanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Naser Jaafar, berkata Aptamers, iaitu pengganti sintetik untuk antibodi adalah sebahagian usaha penghasilan vaksin COVID-19 yang ketika ini diterajui Biogene Technologies Sdn Bhd.

"Ia menjadi bahan ganti kepada antibodi haiwan yang digunakan untuk menghasilkan alatan diagnostik biologi bagi mengsan kehadiran virus atau bakteria tertentu.

"Aptamers digunakan sebagai aplikasi diagnostik molekul dalam penjagaan kesihatan manusia, pembiakan haiwan, pertanian, dan keselamatan makanan, selain penyelidikan vaksin serta penyediaan anti-venom," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi menambah baik ujian makmal, Naser berkata, Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (Mediven) membangunkan kit ujian makmal yang baharu untuk menguji sampel daripada pesakit bergejala COVID-19, termasuk penghidap influenza dan penyakit seperti influenza (ILI).

Katanya, ujian tiub tunggal Mediven mampu mengesan dan membezakan antara Influenza A, iatu H1N1 dan H3N2 serta Influenza B secara serentak.

"Ia juga mampu membezakan COVID-19, termasuklah gen E, RdRPgene dan gen lonjakan, serta Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) daripada satu titisan cecair badan pesakit.

"Kit ini boleh diagihkan secara besar-besaran kepada pekerja barisan hadapan yang menguruskan wabak dan akan mengurangkan masa bagi mengendalikan ujian setiap sampel individu secara signifikan," katanya.

Naser berkata, TTMC Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan U-MAG Acrylic Products (M) Sdn Bhd untuk menghasilkan 'kotak aerosol'.

Beliau berkata, ia adalah penutup pelindung telus yang diletakkan di bahagian kepala dan dada pesakit untuk memudahkan intubasi endotrakeal, iaitu prosedur mewujudkan pengudaraan mekanikal melalui tiub serta dimasukkan ke dalam saluran udara.

"Kotak aerosol ini melindungi jururawat dan doktor daripada terkena titisan air mikro yang dikeluarkan daripada pesakit dijangkiti ketika hembusan nafas, sambil memberi kebebasan kepada tangan mereka untuk terus menjalankan prosedur," katanya.

Menyentuh kemajuan lain, Naser berkata, tiga daripada empat syarikat HIP2 yang mempunyai penyelesaian inovatif bagi mencegah COVID-19 sedang menyiapkan prototaip dan menjadikannya produk siap untuk pasaran.

Sebaik siap katanya, ia akan diserahkan kepada barisan hadapan dan komuniti penyelidikan perubatan tempatan yang akan meningkatkan keberkesanan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

"Produk ini juga berupaya meningkatkan kekebalan daripada jangkitan untuk barisan hadapan yang merawat pesakit yang positif dan mengukuhkan ujian makmal bagi sampel pesakit.

"Twin Catalyst, sebuah syarikat permulaan teknologi perubatan yang berpusat di Sibu, Sarawak pula sedang mendapatkan pembiayaan untuk menghasilkan 'Elasti-Mask' secara pengeluaran besar-besaran.

"Topeng muka pakai buang dengan hujung anjal yang sesuai dengan bentuk wajah pemakai dan mencegah kebocoran udara dari hujung permukaannya, mampu memberikan perlindungan lebih baik dalam persekitaran pusat rawatan COVID-19.

"Ia sekali gus melengkapkan bekalan N95 tradisional dan topeng muka hospital tiga lapisan kepada pekerja barisan hadapan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X