Sabtu, 9 Mei 2020 | 12:01pm

Bangkit isu kedudukan BERSATU, singgung perasaan ahli

SEREMBAN: Tindakan membangkitkan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN) dan menarik parti itu kepada Pakatan Harapan (PH) hanya memberikan impak buruk serta menyinggung perasaan termasuk ahli.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Negeri Sembilan, Muhammad Aziim Mustafa, berkata mereka masih berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada 23 Februari lalu yang

memutuskan keluar daripada PH.

Muhammad Aziim berkata, tidak timbul lagi isu BERSATU menyokong PH.

"Konflik dalaman yang timbul berhubung BERSATU menyokong PH atau bersama PN seharus tidak berbangkit ketika ini kerana ia sudah diputuskan.

"Sekiranya dibangkitkan secara berterusan, ia akan memberi impak atau menyinggung perasaan pelbagai pihak," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemimpin BERSATU, Datuk Marzuki Yahya mendakwa MPT tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan itu.

Marzuki dikatakan mengeluarkan kenyataan mesyuarat MPT 23 dan 24 Februari lalu membuat dua keputusan, iaitu menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi BERSATU serta calon tunggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Muhammad Aziim berkata, pemimpin parti itu diharap dapat memberikan kerjasama dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang akan merumitkan keadaan dalaman parti berkenaan.

Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan ARMADA pusat mengenai sayap parti itu menyokong kembali kerjasama dengan PH jelas menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli akar umbi.

Katanya, semua pihak perlu memberikan sokongan padu kepada Presiden BERSATU yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan tugas dan perjuangan demi rakyat Malaysia tercinta ini.

"Tambahan pula dalam saat sukar negara berhadapan dengan wabak COVID-19," katanya.

Berita Harian X