Selasa, 2 Jun 2020 | 5:21pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Lokasi kluster baharu kes positif COVID-19 yang dikesan di pangsapuri Cheras. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Lokasi kluster baharu kes positif COVID-19 yang dikesan di pangsapuri Cheras. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

COVID-19: Kluster baharu di pangsapuri Cheras - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Satu kluster baharu COVID-19 dikesan di sebuah pangsapuri Cheras yang sudah menjangkiti enam individu, setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, besar kemungkinan kluster wabak itu berkait dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan ketika sambutan Aidilfitri.

Katanya, kes pertama kluster terbabit dikenal pasti daripada ujian saringan terhadap pelajar tahfiz yang dijalankan hasil kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati tiada pelajar, guru atau kakitangan daripada pusat tahfiz berkenaan yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling sebelum ini.

"Hingga kini, enam kes telah dikenal pasti dalam kluster itu, iaitu tiga dikesan membabitkan penghuni pangsapuri berkenaan, manakala tiga lagi dari luar kawasan pangsapuri terbabit.

"Mereka dikenal pasti melalui tindakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection). Kes positif kluster itu membabitkan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

"Punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan, namun besar kemungkinan berkait dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan ketika Aidilfitri," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham sekali gus mengulangi nasihat kepada masyarakat supaya mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Orang ramai digesa mengelakkan aktiviti kunjung-mengunjung, dan bersama-sama dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 jika normal serta kelaziman baharu ini dijadikan amalan dalam kehidupan harian.

"Antaranya, elakkan tempat sesak dan sempit, elak daripada bersembang dalam jarak dekat, serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

"Masyarakat juga digalakkan memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala," katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X