Khamis, 4 Jun 2020 | 9:04pm
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock. - Foto Aizuddin Saad
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock. - Foto Aizuddin Saad

Cabaran guru pastikan murid patuhi SOP

KUALA LUMPUR: Guru bakal berdepan cabaran dalam melaksanakan norma baharu apabila sesi persekolahan dibuka semula kelak, terutama dalam memastikan murid mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata murid kurang memahami bahaya COVID-19, justeru guru perlu memastikan murid sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Murid bersifat dinamik dan tidak faham mengenai bahaya virus ini, jadi menjadi satu cabaran kepada guru untuk memastikan murid mengikut SOP, garis panduan, contohnya tidak berkongsi makanan dan tidak merapatkan diri dengan rakan lain," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kesediaan guru bagi sesi pembukaan semula sekolah selepas Kementerian Pendidikan hari ini mengeluarkan arahan supaya semua guru dikehendaki berada di kawasan bertugas masing-masing dan bersedia untuk ke sekolah selepas tamat cuti pertengahan tahun, awal bulan ini.

Harry memaklumkan, bagi guru pula, mereka pastinya akan mengikut SOP yang ditetapkan, namun pendekatan pengajaran dan pembelajaran pastinya akan berubah.

"Bagi mengatakan kita sudah bersedia sepenuhnya, tidak mungkin. Ini disebabkan tidak pernah lagi mana-mana guru di dunia menghadapi situasi seperti ini.

"Sebagai contoh, guru terpaksa mengutamakan penjarakan sosial, iaitu mengajar murid untuk membuat kerja individu dan bukan lagi menjadi fasilitator untuk membuat aktiviti kumpulan.

"Jadi, guru terpaksa belajar untuk mengajar secara saintifik satu perkara baharu, iaitu pedagogi penjarakan sosial," katanya.

Berita Harian X