Khamis, 2 Julai 2020 | 3:31pm
Ketua-ketua parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan di Putrajaya, semalam. - Foto Facebook Muhyiddin Yassin
Ketua-ketua parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan di Putrajaya, semalam. - Foto Facebook Muhyiddin Yassin

UMNO, PAS sokong Muhyiddin calon PM PRU-15

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS secara prinsip bersetuju untuk terus menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan itu dibincang dalam mesyuarat bersama baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapat sokongan kedua-dua parti Melayu Islam terbesar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

"Mesyuarat bersama pemandu Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS membincangkan perkara itu di peringkat jawatankuasa yang mana kita telah bersetuju untuk terus beri sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan beliau adalah anggota kepada gabungan PN (Perikatan Nasional).

"Untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti telah bersetuju untuk menamakan atau menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.

"Di peringkat jawatankuasa bersama MN yang mana saya setiausaha agungnya, ...betul memang apa disebutkan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) itu adalah perkara yang telah dibincangkan bersama PAS dan UMNO. Dalam soal ini (ia) adalah pendirian (kami) sama. Saya sahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan surat tawaran permit sementara waktu terhad Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada 97 penjaja di Setapak Indah, di sini, hari ini.

Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, keputusan itu akan dibawa ke saluran parti masing-masing untuk perbincangan lanjut.

Berita Harian X