Ahad, 12 Julai 2020 | 5:36pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Kluster baharu dikesan di Kuching

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster baharu di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching yang kini sudah menjangkiti dua individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata kes pertama kluster berkenaan membabitkan pesakit ke-8,694, iaitu seorang pekerja di syarikat berkenaan yang mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai lalu kerana mengalami gejala pernafasan.

"Beliau didapati positif COVID-19 pada hari yang sama. Susulan itu, siasatan dan aktiviti saringan kontak rapat dijalankan.

"Setakat ini, seramai 32 kontak rapat beliau sudah dikenal pasti dan disaring, iaitu 16 rakan sekerja dan 16 ahli keluarga," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selepas saringan COVID-19 dijalankan ke atas kontak rapat terbabit, satu kes dikesan positif, 16 kes negatif dan 15 individu masih menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan seperti proses pembersihan dan nyah kuman turut dijalankan di premis syarikat berkenaan. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X