Rabu, 15 Julai 2020 | 2:38pm

PCA dihadkan hanya 2,000 orang sehari

KUALA LUMPUR: Hanya 2,000 orang sehari dibenar menggunakan kemudahan Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) apabila rentas sempadan secara bersyarat Malaysia-Singapura dilaksanakan mulai 10 Ogos depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bagi Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) pula, seramai 400 orang seminggu masing-masing dari Malaysia dan Singapura akan dibenar menggunakan kemudahan itu.

"Kemudahan PCA akan dihadkan kepada 2,000 orang sehari bagi kedua-dua negara untuk perjalanan rentas sempadan melalui Tambak Johor dan Link Kedua saja," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Dalam kenyataan bersama Hishammuddin dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, semalam, kedua-dua negara bersetuju membenarkan rentas sempadan secara bersyarat menerusi inisiatif RGL serta PCA.

Kedua-dua inisiatif itu dijangka dilaksanakan pada 10 Ogos depan membabitkan urusan perniagaan dan rasmi, serta pemegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.

Hanya 2,000 orang dibenar rentas sempadan ulang-alik Malaysia-Singapura sehari mulai 10 Ogos. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Hanya 2,000 orang dibenar rentas sempadan ulang-alik Malaysia-Singapura sehari mulai 10 Ogos. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, terdapat dua lagi kategori membenarkan perjalanan rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan kira-kira 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura.

"Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan. Ini berkait soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi COVID-19 jelas masih belum reda.

"Paling utama, kelulusan kepada cadangan ini tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan COVID-19 harian terhadap pekerja yang berulang-alik," katanya.

Sementara itu ditanya isu pertikaian membabitkan Laut China Selatan pula, Hishammuddin memaklumkan, tiada lagi kapal perang China berada di perairan berkenaan, ketika ini.

"Kapal China yang berada di perairan kita, sudah tiada lagi. Bagaimana cara kita melakukannya, itu antara kita dengan Kerajaan China. Pendirian kita jelas, kita tidak kompromi (soal kedaulatan)," katanya.

Hishammuddin berkata, dalam tempoh 100 hari menerajui Wisma Putra, hubungan Malaysia dengan China, India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini dingin, sudah kembali pulih.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang media di Parlimen, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
    Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang media di Parlimen, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
    Berita Harian X