Ahad, 2 Ogos 2020 | 2:23pm

MARA tumpu empat teras lonjak ekonomi Bumiputera

Majlis Amanah Rakyat (MARA) ialah agensi kerajaan memfokuskan pembangunan sosioekonomi Bumiputera. Ikuti temu bual wartawan BH Alzahrin Alias dan Mahani Ishak bersama Pengerusi baharunya, Datuk Azizah Mohd Dun mengenai hala tuju agensi yang sinonim dengan keusahawanan tetapi dikatakan mahu kembali kepada matlamat asal iaitu pendidikan, sekali gus menimbulkan persoalan apa bakal terjadi pada teras penubuhannya yang lain.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun. - NSTP/Eizairi Shamsudin

S: MARA cukup sinonim dengan keusahawanan dan pendidikan, menjadi nadi kepada Bumiputera sejak penubuhannya pada 1 Mac 1966. Apakah hala tuju dan matlamat dicapai dalam usaha memperkasakan peranan membangunkan Bumiputera.

J: Apabila disebut MARA, perkara pertama dikaitkan ialah hal ehwal ekonomi dan sejak MARA ditubuhkan, fokus utama ialah keusahawanan. Ini kerana kita percaya, kelangsungan sesuatu bangsa adalah melalui keusahawanan.

Bagaimanapun untuk berjaya, Bumiputera mesti mempunyai ilmu pengetahuan atau pendidikan, maka sektor pendidikan diwujudkan dengan pembinaan institut latihan dan pendidikan.

Hala tuju MARA sangat jelas, bermatlamat memperkasakan penguasaan ekonomi dan peningkatan pemilikan ekuiti terutama melalui aktiviti keusahawanan.

Namun, pendidikan dan pelaburan, iaitu menjadikan MARA itu sangat dekat dengan industri, harus bergerak seiring. Barulah hasrat MARA akan tercapai. Motto MARA sendiri, 'keusahawanan dan pendidikan global,' bukan 'pendidikan dan keusahawanan global.' Ada sebab kenapa keusahawanan disebut dahulu.

S: Pandemik COVID-19 memberikan impak besar kepada aliran tunai kebanyakan usahawan Bumiputera. Sebagai agensi terbabit dalam pembangunan keusahawan, apakah fungsi dimainkan MARA?

J: Sebahagian besar usahawan Bumiputera menghadapi isu penurunan produktiviti dan jualan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Selain menyalurkan bantuan menerusi Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Skim Kemudahan Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan MARA (SPAK) dan diskaun serta pengecualian sewa bagi membantu usahawan Bumiputera, MARA menyediakan program keusahawanan secara dalam talian, iaitu MARA Webinar, FB Live Biztalk dan FB Live Biznetwork.

MARA Webinar ialah kursus membabitkan 300 usahawan dan berlangsung dalam tempoh satu hingga tiga hari bagi setiap sesi.

FB Live Biztalk pula sesi perkongsian antara peserta industri dan usahawan, terutama usahawan luar bandar untuk menimba pengalaman dan pengetahuan bersesuaian cabaran semasa pandemik COVID-19, manakala program FB Live Biznetwork dilaksanakan untuk membantu usahawan luar bandar mengadakan promosi dan membina jaringan perniagaan.

Pandemik COVID-19 juga mengakibatkan ada antara usahawan terpaksa keluar daripada premis perniagaan kerana tidak mampu membayar sewa, malah ada terpaksa menghentikan operasi perniagaan. Melalui ekosistem keusahawanan lengkap, MARA menawarkan lot premis perniagaan dengan kadar sewa lebih rendah khusus bagi membantu usahawan Bumiputera membina semula perniagaan terjejas.

MARA turut membantu usahawan kelompok kontraktor Bumiputera melalui tawaran kerja penyelenggaraan Premis Perniagaan MARA di seluruh negara melalui peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 dengan implikasi kewangan sebanyak RM50 juta.

Sejak MARA ditubuhkan, fokus utama ialah keusahawanan. - Foto hiasan
Sejak MARA ditubuhkan, fokus utama ialah keusahawanan. - Foto hiasan

S: Secara keseluruhan, berapakah jumlah bantuan dan pembiayaan sudah disalurkan MARA setakat ini untuk membantu usahawan Bumiputera?

J: Sejak penubuhan agensi Lembaga Kemajuan Kampung dan Perubahan (RIDA) hingga menjadi MARA sejak 1951 sehingga kini, MARA membantu 268,994 usahawan dengan kemudahan pembiayaan perniagaan berjumlah RM8 bilion.

S: Adakah MARA akan meneruskan program membabitkan kewangan untuk membantu usahawan Bumiputera kerana ada stigma menyatakan jika kerap diberi bantuan, sampai bilakah mereka akan berdikari.

J: MARA akan terus melaksanakan program membabitkan peruntukan kewangan untuk membantu kelangsungan usahawan Bumiputera.

Namun, agihan peruntukan akan dibuat dengan efisien dan mematuhi syarat agar adil dan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan usahawan memerlukan bantuan terutama usahawan luar bandar. Agihan peruntukan dibahagikan mengikut industri tertentu seperti makanan dan minuman (F&B), automotif, gaya hidup, pembinaan dan perkhidmatan.

S: Apakah fungsi MARA dalam membantu usahawan Bumiputera khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana?

J: MARA menyediakan ekosistem keusahawanan lengkap dalam membantu usahawan Bumiputera menumpukan pembangunan usahawan.

Program ditawarkan bertujuan menyediakan usahawan dengan ilmu perniagaan diperlukan melalui latihan dan program keusahawanan direka khas MARA.

Pembangunan perniagaan atau bisnes bertujuan meningkatkan kapasiti perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa merangkumi program padanan perniagaan dan penjenamaan bersama peserta industri.

Program Gate To Global (GTG) adalah antara program disediakan khas oleh MARA dalam memfokuskan pemasaran bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat Bumiputera agar berdaya saing menembusi pasaran antarabangsa.

MARA juga menyediakan kemudahan sokongan di bawah ekosistem keusahawanan merangkumi kemudahan pembiayaan perniagaan, sewaan premis perniagaan dan khidmat nasihat.

S: Kepemimpinan terdahulu menyatakan MARA akan lebih menumpukan kepada sektor pendidikan dalam pengembangan pembangunan Bumiputera.

J: MARA masih mengekalkan matlamat asal penubuhannya dengan terus memberi keutamaan kepada B40 dan golongan berpendapatan rendah dalam menyediakan pendidikan berkualiti selaras objektif penubuhannya, iaitu membantu memajukan ekonomi Bumiputera.

Bagaimanapun perlu difahami mandat MARA adalah untuk membangunkan rakyat dalam semua bidang sama ada pendidikan, keusahawanan mahupun pelaburan. Di bawah kepemimpinan baharu MARA, kita akan memastikan segala usaha dilakukan untuk memajukan Bumiputera dalam pelbagai aspek.

Justeru, sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan MARA akan kita gerakkan secara bersinergi serta menyokong matlamat utama dalam usaha membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Berbalik kepada isu pendidikan, sistem Pendidikan MARA menitikberatkan nilai sahsiah dan akhlak di samping menerapkan pengetahuan dan kemahiran sebagai asas kecemerlangan pelajar selari falsafah pendidikan MARA, iaitu 'pendidikan MARA adalah satu usaha berterusan berteraskan ilmu, teknologi dan nilai keusahawanan untuk membangunkan insan holistik dan seimbang.'

MARA kini mempunyai 342 Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang menawarkan pengajian daripada peringkat sijil hingga doktor falsafah dan bidang profesional. Ekosistem pendidikan lengkap ini memberi ruang dan peluang kepada pelajar Bumiputera untuk meningkatkan kemahiran serta teknologi dalam pendidikan.

Program pendidikan yang diberi nilai tambah sentiasa dirangka bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan negara.

S: Dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM8 bilion diperuntukkan untuk Bumiputera dengan RM6.6 bilion kepada institusi Bumiputera yang menumpukan sektor pendidikan. Boleh Datuk kongsikan sejauh mana tumpuan kepada pendidikan setakat ini.

J: Seiring abad ke-21 dan Revolusi Perindustrian ke-4 (IR 4.0), sistem pendidikan MRSM juga mengalami evolusi seiring dengan perubahan global. Penekanan kini kepada Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan negara sentiasa memiliki modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

Ini sejajar Pelan Tindakan Strategik STEM Nasional 2018-2025 digubal bagi memperkasa ekosistem STEM negara.

Ketika ini, terdapat 53 MRSM dengan seramai 36,789 pelajar. Bagi 2020, MARA menerima sebanyak 109,930 permohonan kemasukan ke MRSM dan permohonan ini meningkat pada setiap tahun.

Oleh itu, MARA merangka dan merancang beberapa projek pembinaan MRSM baharu untuk dilaksanakan.

Sebanyak sembilan MRSM baharu sedang dalam pembinaan dan perancangan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), iaitu MRSM Bera, MRSM Bagan Datuk, MRSM Tanah Merah, MRSM Dungun, MRSM Bintulu, MRSM Ranau, Sabah; MRSM Sik dan MRSM Lawas.

Geran penyelidikan STEM dan TVET akan diteruskan dan ditambah khas kepada pelajar yang melaksanakan projek penyelidikan dan inovasi. Dana ini menyuntik modal dan sumber bagi membolehkan projek pelajar ditambah nilai agar lebih kompetitif untuk ke peringkat seterusnya.

Golongan B40 dan M40 akan terus diberikan peluang di MRSM untuk mendapat peluang pendidikan terbaik. - Foto hiasan
Golongan B40 dan M40 akan terus diberikan peluang di MRSM untuk mendapat peluang pendidikan terbaik. - Foto hiasan

S: Bagaimana pula hala tuju pendidikan dan kualiti apabila lebih banyak ruang diberikan kepada pelajar kumpulan B40 dan M40 dikatakan secara tidak langsung menjejaskan kualiti pelajar dihasilkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

J: Setakat ini tiada masalah kualiti pendidikan dan pencapaian walaupun peningkatan jumlah pelajar MRSM daripada B40. Malah, inilah perlu dilakukan untuk memberi peluang kepada mereka.

Untuk itu, MRSM sentiasa memastikan kualiti pendidikannya tidak terjejas walaupun lebih banyak ruang diberikan kepada pelajar B40 dan M40. Ketika itu, bilangan pelajar daripada B40 sebanyak 16,317 orang, manakala M40 pula 9,679 pelajar.

Pengambilan pelajar ke MRSM masih memenuhi syarat akademik sudah ditetapkan dan keutamaan diberi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Pemilihan pelajar masih berdasarkan merit. Oleh itu, kualiti pelajar tidak terjejas walaupun lebih banyak ruang diberikan kepada kumpulan ini.

Penubuhan MRSM amat bermakna kepada golongan ini. MARA sentiasa prihatin untuk memastikan hasrat kerajaan membantu dan memberi akses pendidikan terbaik kepada B40 dan M40.

Selari hasrat kementerian melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar, Teras 3; Modal insan berkualiti, komited dalam melahirkan masyarakat mempunyai minda kelas pertama dengan penyediaan infrastruktur inklusif kepada pelajar terutama luar bandar.

MRSM ialah IPMA yang menyediakan pendidikan dalam Matematik, Sains dan Teknologi kepada pelajar Bumiputera untuk meneruskan pengajian ke institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara.

Untuk mencapai matlamat menjadikan pendidikan di MRSM bertaraf dunia, sistem pendidikan (SPMRSM) memberi penekanan kepada kemahiran pembelajaran abad ke-21 merangkumi aspek kreativiti dan inovasi, pembelajaran melalui pengalaman, kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), komunikasi dan kolaboratif, kemahiran insaniah dan kemahiran subjek.

S: Dalam isu penajaan termasuk yuran pengajian dan elaun bulanan untuk pelajar MRSM serta institusi pendidikan tinggi di bawah MARA. Adakah penajaan itu masih diteruskan atau dikurangkan?

J: Penajaan termasuk yuran pengajian dan elaun bulanan untuk pelajar di IPMA masih diteruskan sama seperti dasar sedia ada, iaitu tiada yuran pengajian dikenakan kepada semua pelajar.

Begitu juga pemberian elaun sara hidup kepada pelajar masih diteruskan kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan kos sara hidup pelajar dalam usaha menimba ilmu hingga peringkat seterusnya.

Ini termasuk yuran pengajian dan elaun bulanan bagi pelajar MRSM serta pengecualian wang caruman dan pemberian wang saku bagi pelajar memenuhi syarat Bantuan Kewangan MARA.

Kaedah kemasukan ke MRSM akan diperhalusi selepas UPSR dibatalkan pada tahun ini. - Foto hiasan
Kaedah kemasukan ke MRSM akan diperhalusi selepas UPSR dibatalkan pada tahun ini. - Foto hiasan

S: Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) disebabkan pandemik COVID-19. Adakah terdapat kriteria baharu kemasukan pelajar ke MRSM selepas ini?

J: Memandangkan kerajaan memansuhkan UPSR dan PT3 2020, kriteria kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke MRSM pada 2021 adalah berasaskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS); Pentaksiran Kemasukan Murid ke Sekolah Khusus (PKSK) serta Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).

Selain itu, kemasukan akan mengambil kira status sosioekonomi keluarga (SES), pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) serta pentaksiran psikometrik (PPsi).

S: Adakah peratusan kemasukan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) masih menjadi keutamaan utama MRSM untuk sesi 2021.

J: Kerajaan akan tetap meneruskan polisi dan dasar sedia ada dengan memberi keutamaan kepada pengambilan pelajar golongan B40 sekurang-kurangnya 60 peratus bagi pengambilan sesi 2021.

Tumpuan akan diberikan kepada pelajar luar bandar untuk memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan prasarana dan sistem pendidikan terbaik.

S: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sentiasa menjadi pilihan pendidikan bagi institusi di bawah MARA. Apakah pelan transformasi pendidikan dalam memenuhi kehendak industri dan keperluan ketika ini.

J: Sejak penubuhan TVET MARA bermula 1968 di Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin, Melaka, MARA sudah menghasilkan 169,141 graduan dalam pelbagai bidang teknikal. Sehingga kini terdapat 270 institusi pendidikan TVET MARA di seluruh negara.

Ia memberi tumpuan pelbagai bidang pengkhususan teknikal di bawah 14 bidang utama pengajian meliputi mekanikal dan pembuatan, seni bina awam, elektrik dan elektronik, minyak dan gas, kesihatan dan perubatan, bioteknologi, teknologi material, teknologi maklumat dan pengkomputeran, pengangkutan dan teknologi logistik (marin, aeroangkasa, rel dan automotif), multimedia kreatif dan seni reka, hospitaliti, kulinari dan pelancongan, usahawan dan teknopreneur, dandanan rambut dan kecantikan, fesyen dan pakaian.

Transformasi TVET MARA membabitkan rasionalisasi program, peluang laluan pendidikan daripada peringkat rendah ke peringkat lebih tinggi. Industri IR4.0 MARA merangka Pelan Transformasi 2018-2028, antaranya koordinasi bersama agensi bagi memenuhi keperluan dan permintaan guna tenaga negara. Selain itu, komponen set kemahiran diterapkan dalam kurikulum secara teori dan amali.

Kepelbagaian klasifikasi persijilan atau pentauliahan dengan berasaskan keperluan industri.

Kami juga menumpukan Industry Based Education and Training (IBET), pendidikan dan latihan berasaskan industri sentiasa diperkasakan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran TVET MARA sentiasa relevan dan diiktiraf industri.

Pendigitalan TVET MARA pula komponen utama dalam Pelan Transformasi TVET MARA.

Bagi menyokong transformasi digitalisasi ini, inisiatif diteruskan dengan peningkatan infrastruktur, iaitu melalui menaik taraf rangkaian internet dan membekalkan internet berkelajuan tinggi.

Pelbagai inisiatif akan diberikan kepada usahawan MARA dari pelbagai sektor agar berupaya mengembangkan perniagaan mereka. - Foto hiasan
Pelbagai inisiatif akan diberikan kepada usahawan MARA dari pelbagai sektor agar berupaya mengembangkan perniagaan mereka. - Foto hiasan

Berita Harian X