Ahad, 2 Ogos 2020 | 2:24pm
Pengusaha lembu menyuntik hormon bagi tujuan menggemukkan ternakan dan elak penyakit. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengusaha lembu menyuntik hormon bagi tujuan menggemukkan ternakan dan elak penyakit. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Cecair suntikan boleh sebab kanser

KOTA BHARU: Orang ramai perlu berwaspada dan sebolehnya mengelak pengambilan daging daripada lembu seludup yang disuntik hormon penggemuk.

Hormon atau steroid yang diberikan secara suntikan atau minuman kepada ternakan bagi mempercepatkan tumbesaran itu, boleh memberi kesan karsigonik yang menyebabkan kanser kepada orang ramai.

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Mohd Azam Khan Goriman Khan, berkata ketika ini ada pandangan yang berbeza mengenai kesan penggunaan bahan terbabit kepada daging ternakan.

"Walaupun ketika ini ada pandangan berbeza mengenainya kesannya pada daging, sama ada selamat dimakan atau tidak. Ada yang menjawab ia tidak berbahaya, namun lebih baik dielakkan.

"Tanpa pengawasan pihak berkuasa veterinar, pihak terbabit tidak tahu jenis penggalak tumbesaran ternakan digunakan, sama ada vitamin, antibiotik, steroid atau hormon atau membabitkan campuran lain," katanya kepada BH.

Dr Mohd Azam berkata, sudah ada kajian serta penyelidikan berkaitan impak bahan terbabit kepada tumbesaran lembu serta kesannya terhadap kesihatan manusia.

"Apa yang dikhuatirkan ialah berlaku pembentukan kerintangan antimikrobial (antimicrobial resistant) daripada penggunaan bahan terbabit yang diberi tanpa kawalan dalam proses membela ternakan.

"Penggunaan vitamin sahaja tidak boleh secara sendirinya menggemukkan lembu, apatah lagi dalam masa yang singkat. Ramai tidak tahu vitamin dan steroid adalah dua entiti berbeza dan cara untuk kita kenal pasti apa yang disuntik kepada lembu, hanyalah melalui pemeriksaan pihak berwajib.

"Menggemukkan lembu bergantung kepada makanan utama, iaitu foraj seperti rumput segar, rumput kering, silaj dan ada penternak menggunakan konsentrat seperti kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata, vitamin dan mineral penting dan mempunyai banyak peranan dalam badan haiwan antaranya untuk fungsi sel, sistem imunisasi, sistem saraf, fungsi otot, tumbesaran dan pembiakan yang normal dan mantap.

Hormon atau steroid yang diberikan secara suntikan atau minuman kepada ternakan bagi mempercepatkan tumbesaran itu, boleh memberi kesan karsigonik yang menyebabkan kanser kepada orang ramai. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Hormon atau steroid yang diberikan secara suntikan atau minuman kepada ternakan bagi mempercepatkan tumbesaran itu, boleh memberi kesan karsigonik yang menyebabkan kanser kepada orang ramai. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

'Ada individu tawar khidmat'

Sebahagian pengusaha lembu tempatan di negeri ini, dikatakan mengguna khidmat suntikan hormon ditawarkan individu tertentu, bagi tujuan menggemukkan ternakan, selain mengelak penyakit.

Bagaimanapun, suntikan berkenaan hanya dibuat terhadap lembu yang sudah ditempah pelanggan, memandangkan setiap suntikan dikenakan kos sebanyak RM40.

Pengusaha lembu tempatan yang mahu dikenali sebagai Yoe, 42, mengaku menggunakan khidmat suntikan dianggap sebagai vitamin, namun tidak mengetahui kandungan sebenarnya kerana pada kefahamannya itu untuk kesihatan lembu.

Dia mengakui, pada awalnya lembu diternak dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk diperiksa dan diberi suntikan, namun sejak beberapa tahun lalu dia menggunakan khidmat 'rakan' yang berpengalaman memberi suntikan kerana lebih cepat dan harga jauh lebih murah.

"Bagi pengusaha lembu seperti saya, apa yang disuntik hanyalah 'vitamin' semata-mata yang mana baik untuk lembu tanpa mengetahui kandungan sebenar jika ia boleh membawa kesan buruk pada daging ternakan dan kita yang memakannya.

"Sebaik disuntik, lembu itu akan berselera makan dan berat badannya akan naik.

"Sebenarnya, jika hendak beli sendiri ubat hormon ini agak sukar kerana golongan yang menawarkan khidmat suntik ini mahu melakukan kerjanya sendiri, jadi ia boleh mendatangkan curiga jika mereka sebenarnya mencampurkan vitamin dengan bahan lain," katanya.

Pengusaha ladang ternakan boleh didenda, dipenjara

Sebarang penggunaan suntikan hormon atau penggalak tumbesaran kepada haiwan ternakan bagi tujuan pengkomersialan adalah dilarang di Malaysia.

Pendekatan bagi tujuan mempercepatkan tumbesaran, demi mengaut keuntungan dalam jangka pendek itu, menyalahi peruntukan Akta Makanan Haiwan 2009 (Akta 698).

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, ketika menjelaskan perkara itu, berkata hanya ubat-ubatan mendapat kelulusan dan berdaftar, selain tidak bercanggah dengan Akta 698 boleh diberikan kepada haiwan ternakan.

Katanya, pengusaha ladang ternakan atau mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut akta berkenaan dan disabitkan bersalah boleh dikenakan tindakan penjara serta denda.

"Suntikan hormon sebagai penggalak tumbesaran memang tidak dibenarkan sama sekali di Malaysia kerana pendekatan singkat seperti ini berupaya memberi kesan negatif kepada manusia.

"Oleh itu, ia dilarang, namun ada sesetengah ubat seperti antibiotik yang mendapat kebenaran untuk digunakan dalam penternakan haiwan bagi tujuan pengkomersialan.

"Penggunaan setiap antibiotik ini bagaimanapun harus mendapat preskripsi daripada doktor veterinar, sebelum diberikan kepada haiwan ternakan.

"Menerusi pemantauan dan kajian terhadap kesan sampingan, ada sesetengah antibiotik yang JPV kuat kuasakan larangan penggunaan, seperti colistin dalam industri penternakan ayam sejak 2019 lalu," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semakan terhadap Seksyen 19(2) Akta Makanan Haiwan 2009 memperuntukkan mana-mana individu yang disabitkan bersalah kerana memasukkan antibiotik, hormon atau bahan kimia ke dalam haiwan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

BH semalam, mendedahkan lembu yang diseludup dari negara jiran ke Malaysia, disuntik hormon penggalak bagi menyegerakan tumbesaran dan meningkatkan berat sehingga mencecah 10 kilogram dalam tempoh dua minggu, sebelum dijual kepada pelanggan.

Memperincikan kesan sampingan terhadap manusia, Dr Norlizan berkata, penggunaan bahan kimia, sama ada hormon atau antibiotik bagi tujuan penggalak tumbesaran boleh mengundang pelbagai impak negatif.

Pengusaha lembu menyuntik hormon bagi tujuan menggemukkan ternakan dan elak penyakit. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengusaha lembu menyuntik hormon bagi tujuan menggemukkan ternakan dan elak penyakit. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mengambil contoh antibiotik, beliau berkata, tindakan memasukkan bahan kimia itu ke dalam haiwan ternakan berupaya menyebabkan manusia rintang kepada kesan ubat.

"Kalau kita gunakan tanpa preskripsi daripada doktor veterinar dan tanpa kawalan, kesannya akan diturunkan kepada manusia yang makan daging berkenaan.

"Kita jadi rintang kepada sesetengah antibiotik, justeru penggunaan secara sewenang-wenangnya memang tidak dibenarkan, khususnya membabitkan penggalak tumbesaran kerana ia bahaya.

"Malah, JPV kini pada peringkat untuk mengemukakan penguatkuasaan larangan membabitkan lima antibiotik lain, menjelang September ini, selepas dikenal pasti mempunyai kesan sampingan.

"Kita minta kerjasama awam, jika ada kes begini (penggunaan bahan kimia dalam haiwan ternakan), lapor kepada JPV untuk tindakan susulan dan penguatkuasaan," katanya.

Berita Harian X