Ahad, 2 Ogos 2020 | 4:03pm

PRN Sabah: UMNO umum senarai penuh calon 2 minggu lagi

KOTA KINABALU: Senarai penuh calon UMNO yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pengumuman itu akan dibuat selepas selesai rundingan kedudukan kerusi dilakukan dengan rakan komponen serta parti sekutu Barisan Nasional (BN) negeri.

Beliau berkata, rundingan berkenaan akan diadakan dalam tempoh terdekat susulan keputusan parti untuk berdepan Parti Warisan Sabah (WARISAN) di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.

"UMNO Sabah akan berunding dalam kalangan komponen BN sehari dua ini dan seterusnya kita akan berunding dengan rakan kita yang bukan pro dengan WARISAN.

"Selain proses mengenal pasti calon, semua persiapan untuk menghadapi PRN akan turut dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu ini," katanya ketika sidang media khas di sini, hari ini.

Ditanya jangkaan calon yang akan dipertaruhkan, Bung Mokhtar berkata 80 hingga 90 peratus calon yang akan mewakili UMNO Sabah terdiri wajah baharu.

"Setakat ini, kita belum memutuskan peratusan pengagihan kerusi. Terdapat banyak parti, agak susah untuk melaraskan peratus pembahagian kerusi dan semuanya masih dalam perundingan.

"Tetapi kita akan yakinkan rakan kita bahawa UMNO Sabah perlu diberi lebih sedikit kerusi sebab kita ada kekuatan kita sendiri.

"Namun kita tidak ketepikan rakan (parti) lain kerana semua parti ada kekuatan masing-masing. Kita dan rakan-rakan beri jaminan akan dapat memberi perkhidmatan terbaik dan yakin dengan strategi yang tepat serta calon bersesuaian, kita akan menang," katanya.

Semalam, Bung Moktar membayangkan UMNO negeri akan mempertahankan 32 kerusi DUN yang mereka tandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuk bersedia bertanding di 13 DUN baharu.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dilaporkan parti itu mahu bertanding di 45 kerusi DUN dalam PRN yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Bung Moktar (duduk, kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Khas UMNO Sabah di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Bung Moktar (duduk, kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Khas UMNO Sabah di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Berita Harian X