Ahad, 2 Ogos 2020 | 5:25pm

Kluster PUI Sivagangga: 11 kes positif dikesan hari ini

PUTRAJAYA: Penularan wabak COVID-19 daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah sudah membabitkan dua generasi.

Berdasarkan maklumat terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan, ia susulan dua kes daripada generasi pertama membabitkan pelanggan di restoran milik kes induk kluster itu, dikesan menjangkiti ahli keluarga dan rakan sekerja mereka.

Seorang pelanggan yang juga kes ke-8,975 daripada kluster itu didapati menjangkiti isteri, dua anak, ibu, ibu saudara dan bapa saudara, adik ipar serta seorang rakan sekerjanya, manakala seorang lagi pelanggan (kes ke-8,976) pula dikesan menjangkiti isteri, anak dan dua cucunya.

Kementerian Kesihatan turut memperincikan lima lagi kes generasi pertama dalam kluster itu yang terdiri daripada anak pemilik restoran terbabit dan empat pekerja di premis berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan pula memaklumkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) kementerian itu mengesan 11 kes positif daripada kluster berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam kluster itu mencecah 20 pesakit, setakat ini.

"Lapan daripada kes dikesan itu adalah kontak rapat kepada kes ke-8,975 yang juga generasi pertama kluster itu, termasuk seorang murid sekolah berusia tujuh tahun.

"Tiga lagi pesakit dikesan positif adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8,976 yang juga generasi pertama, termasuk seorang murid sekolah berusia 10 tahun.

"Hingga jam 12 tengah hari tadi, 313 individu sudah disaring. Daripada jumlah itu, 20 kes dikesan positif, 280 lagi negatif dan 13 masih menunggu keputusan ujian. Semua 20 kes dikesan positif adalah aktif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, 15 daripada 20 kes positif itu membabitkan rakyat Malaysia, manakala lima lagi bukan warganegara.

Beliau berkata, tiada kes daripada kluster itu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), selain tidak ada kematian dilaporkan.

"Semua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk diasingkan dan menerima rawatan.

"Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif turut dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mencegah penularan COVID-19.

"Aktiviti pembersihan dan nyahkuman dilaksanakan di semua premis, termasuk sekolah terbabit dan rumah kes dikesan positif," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
    Berita Harian X