Ahad, 2 Ogos 2020 | 5:45pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA

28 diambil tindakan gagal patuh SOP kuarantin di rumah

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap 28 individu, semalam, kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah yang diwajibkan terhadap mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis menjalankan 2,263 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

"Semalam, PDRM mengambil tindakan terhadap 28 individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah yang ditetapkan.

"PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sepanjang tempoh kuarantin wajib di stesen kuarantin dilaksanakan semula sejak 24 Julai lalu hingga semalam, seramai 4,286 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Katanya, kesemua mereka ditempatkan di 16 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor serta Johor.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Mereka pulang dari 24 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea dan Australia," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 10 operasi sanitasi dijalankan di sembilan zon, termasuk masing-masing satu Zon Kuning dan Zon Merah, semalam.

Beliau berkata, enam operasi terbabit dijalankan di Sabah, Sarawak (tiga) dan Johor (satu).

Katanya, operasi sanitasi itu membabitkan 28 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 90 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama satu jentera JBPM.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X