Selasa, 21 April 2020 | 10:43am
Keputusan KPM menangguhkan SPM beri kelegaan kepada pelajar, ibu bapa. -Foto Hiasan
Keputusan KPM menangguhkan SPM beri kelegaan kepada pelajar, ibu bapa. -Foto Hiasan
Hasrulnizam Hashim
Hasrulnizam Hashim
Norizan Muhiddin
Norizan Muhiddin
Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi
Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi

COVID-19: Guru, pelajar, ibu bapa sokong tangguh SPM

KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Pendidikan menangguhkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya diduduki calon pada November ini ke suku pertama tahun depan, disifatkan tindakan wajar bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar serta guru.

Langkah itu disambut baik bukan sahaja pelajar dan guru, malah turut disokong ibu bapa yang menganggapnya sebagai keadilan kepada pelajar untuk lebih bersedia menduduki peperiksaan awam berkenaan dalam keadaan paling selesa.

Guru Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Hartamas, Hasrulnisham Hashim, berkata langkah diambil kementerian itu tepat memandangkan negara berdepan wabak COVID-19 yang tidak diketahui bila virus terbabit akan berakhir.

“Mungkin rantaian wabak ini akan benar-benar berakhir dalam tempoh enam bulan atau lebih dan dikhuatiri membabitkan bulan peperiksaan SPM yang kebiasaannya diadakan pada hujung tahun.

“Penangguhan ini memberi kelegaan kepada pelajar kerana tidak perlu risau mengenai tahap kesihatan atau keselamatan ketika mendudukinya, malah guru sendiri boleh menyusun jadual untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta ulang kaji mencukupi bersama pelajar secara virtual mengikut silibus mata pelajaran,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, mengumumkan SPM akan ditangguhkan ke suku pertama tahun depan, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan ekoran penularan COVID-19.

Bagi guru di SMK Bandar Tasik Puteri, Norizan Muhiddin @ Yidin, penangguhan peperiksaan terbabit memberi ruang kepada pelajar untuk menjalani PdP secara berdepan bersama guru dalam tempoh beberapa bulan sekiranya sekolah dibuka semula sebelum SPM.

Katanya, walaupun guru sememangnya melaksanakan PdP secara dalam talian dan aplikasi gajet seperti disarankan kerajaan, ada kala kaedah itu sukar disampaikan secara menyeluruh disebabkan kekangan akses, terutama membabitkan pelajar kurang berkemampuan, menetap di kawasan luar bandar atau tidak memiliki perkhidmatan internet.

“Bila pelajar tidak dapat menerima penyampaian guru melalui kaedah terbabit, ini seolah-olah menafikan hak pelajar menerima tunjuk ajar, malah dibimbangi juga mereka tidak menguasai topik.

“Saya sendiri ada anak bakal menduduki SPM kali ini dan saya lihat belajar melalui kaedah PdP dalam talian tidak sama dengan secara berdepan apabila membolehkan guru menunjuk ajar secara fokus kepada pelajar kurang faham,” kata guru yang mengajar Tingkatan Lima itu.

Seorang bapa pelajar, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, berkata anjakan SPM ke tahun depan membolehkan pelajar memiliki lebih banyak masa untuk mentelaah mata pelajaran dan membuat persediaan bersama guru, sekali gus tidak tergesa-gesa menduduki peperiksaan dalam keadaan kurang selesa.

Beliau berpendapat, keputusan Kementerian Pendidikan itu juga sebagai langkah tepat untuk mengelakkan pelajar terdedah kepada risiko COVID-19 jika wabak berkenaan masih belum benar-benar berakhir ketika menjelangnya SPM hujung tahun ini.

Ahmad Zamri yang juga Ketua Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, berkata sebagai bapa kepada calon SPM tahun ini, Nur Irdina Safiyah, keputusan dibuat kementerian itu memberi satu kelegaan.

“Pastinya tiada ibu bapa yang akan membantah keputusan ini, apa dibuat kementerian demi kebaikan pelajar dan negara,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima SMK Seri Serdang, Fathul Khuzairi Mohd Fuad, 17, berkata sebagai calon SPM, dia menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan kerana dapat memberi lebih peluang dan persediaan kepada pelajar untuk mentelaah mata pelajaran.

Ditambah ada segelintir pelajar, katanya, terutama di luar bandar tidak dapat mengakses kemudahan belajar secara dalam talian atau e-learning yang diketengahkan kerajaan, justeru penangguhan SPM membolehkan mereka memiliki masa tambahan untuk melakukan pembelajaran mengikut cara sendiri.

Bagaimanapun, Fathul Khuzairi berkata, lebihan masa ‘diberikan’ kementerian itu harus dimanfaatkan pelajar sebaik mungkin dengan meneruskan pembelajaran bersungguh-sungguh di rumah, termasuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Jangan pernah menganggap bahawa keputusan penangguhan ini sebagai satu ‘berita gembira’ untuk kita terus lalai dan leka dengan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah.

“Anggaplah keputusan ini sebagai peluang untuk kita mendorong diri ke arah mencapai kejayaan lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti,” katanya.

Berita Harian X