Jumaat, 8 Mei 2020 | 4:56pm
Radin Hashimah (tiga dari kanan) dan Iskandar Syahril (dua kanan) ketika menyampaikan bantuan kepada pelajar SMK Bandar Seri Putra, di sini, baru-baru ini.
Radin Hashimah (tiga dari kanan) dan Iskandar Syahril (dua kanan) ketika menyampaikan bantuan kepada pelajar SMK Bandar Seri Putra, di sini, baru-baru ini.
Bantuan makanan yang disediakan untuk keluarga pelajar SMK Bandar Seri Putra yang memerlukan berikutan PKP.
Bantuan makanan yang disediakan untuk keluarga pelajar SMK Bandar Seri Putra yang memerlukan berikutan PKP.

Bantu pelajar ikuti pembelajaran dalam talian

KUALA LUMPUR: Kesusahan hidup ditanggung sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra sehingga tidak mampu membeli tambah nilai telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di rumah terbela apabila pengetuanya, Radin Hashimah Radin Hassan melancarkan kutipan dana bagi meringankan beban mereka.

Katanya, beliau tidak menyangka keadaan seperti itu berlaku, namun ada beberapa pelajar yang menghubungi guru mereka bagi menyatakan masalah yang dihadapi.

"Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada beberapa pelajar yang menelefon guru sekolah ini memaklumkan tidak boleh mengikuti pengajaran dan pembelajaran menerusi dalam talian kerana tiada wang untuk menambah nilai telefon mereka.

"Mereka turut memaklumkan kekangan PKP mengakibatkan bapa mereka tidak boleh keluar bekerja untuk mencari rezeki, malah lebih menyedihkan apabila mereka beritahu di rumah pun tak ada makanan," katanya.

Berikutan permasalahan itu, Radin Hashimah berkata, beliau meminta guru turut mengenal pasti pelajar lain yang berdepan masalah sama dan hasilnya pihak sekolah mendapati seramai lebih 400 perlu dibantu.

Beliau berkata, selaku pengetua beliau memaklumkan situasi itu kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Seri Putra, Iskandar Syahril Ibrahim Sukri yang kemudiannya melancarkan dana kutipan bantuan terbabit.

Mengulas lanjut, katanya, biarpun sekolah ditutup akibat COVID-19 yang menyaksikan pelajar perlu mengikuti PdPc bersama guru secara dalam talian, beliau tidak mahu tumpuan mereka terhadap pelajaran terjejas.

"Pihak sekolah mahu pelajar terus belajar dan menguasai topik walaupun di rumah, justeru kami akan berusaha memudahkan penyampaiannya, selain mendoakan mereka, terutama yang berdepan kesukaran akibat COVID-19 dipermudahkan urusan," katanya.

Sementara itu, Iskandar Syahril berkata, kutipan dana yang dilancarkan berkenaan bertujuan membantu pelajar terus mengikuti PdPc supaya semangat mereka menguasai pembelajaran tidak berkurangan hanya diakibatkan kesusahan hidup.

Beliau berkata, kutipan dana itu dilancarkan PIBG SMK Bandar Seri Putra melalui beberapa kaedah, iaitu menerusi aplikasi WhatsApp, aplikasi Telegram dan media sosial, terutama Facebook.

Iskandar Syahril berkata, dana diperoleh melalui sumbangan ibu bapa, orang awam dan organisasi itu disalurkan kepada pelajar miskin bandar, yatim, asnaf dan B40 terbabit menerusi dua fasa pengagihan.

"Dengan sambutan sumbangan menggalakkan diterima pada tempoh fasa pertama kutipan, kami sudah menyerahkan bantuan kad sim dan tambah nilai berjumlah RM50 setiap seorang kepada 150 pelajar yang aktif mengikuti PdPc secara dalam talian bersama guru bagi memastikan saluran internet mereka lebih laju.

"Keluarga pelajar ini turut menerima keperluan makanan asas, seperti beras, minyak masak, gula, tepung, mee hoon dan kicap sebagai motivasi menyambut Ramadan," katanya.

Pada fasa kedua, katanya, PIBG SMK Bandar Seri Putra akan menyerahkan barangan keperluan kepada baki pelajar dikenal pasti, manakala nilai pemberian diterima setiap mereka nanti mengikut jumlah dana dikumpul.

Berita Harian X