X
Khamis, 21 Mei 2020 | 1:53pm
Iklan hari raya 2020 USIM bertajuk ‘Raya Online’ tonjolkan cerita sepanjang PKP.
Iklan hari raya 2020 USIM bertajuk ‘Raya Online’ tonjolkan cerita sepanjang PKP.

Iklan raya USIM raih puluhan ribu tontonan

NILAI: Berdepan dengan pandemik wabak COVID-19 dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mematahkan semangat sekumpulan siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menerbitkan iklan Hari Raya USIM 2020 'Raya Online'.

Dihasilkan dan terbitkan dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm), iklan berkenaan sudah ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube USIMTV dan Facebook USIM sejak 15 Mei lalu.

Selepas lima hari ditayangkan hingga semalam (Rabu), 'Raya Online' telah mencapai 30,000 tontonan di saluran USIMTV dan mendapat lebih 22,000 tontonan serta 400 perkongsian di Facebook USIM.

Pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM Farhan Halim yang bertindak selaku pengarah iklan 'Raya Online', berkata keseluruhan konsep jalan cerita dan skrip asal yang telah dirancang terpaksa diubah pada saat akhir apabila kerajaan menguatkuasakan PKP.

"Krew produksi iklan terdiri daripada sembilan pelajar USIM dari pelbagai fakulti dan sebahagian besar daripada kami terkandas di kampung, tidak dapat pulang semula ke kampus untuk meneruskan kerja penggambaran.

"Melihat tempoh PKP terus bersambung dan kekangan untuk meneruskan rakaman di lapangan, kami dapat idea hasilkan jalan cerita baharu berdasarkan situasi pelajar universiti yang terkandas di kampus dan berkemungkinan tidak dapat pulang beraya," katanya.

Bagi penulis skrip yang juga watak utama iklan raya USIM kali ini, Syauqi Mardia Baharudin pelbagai kisah semasa yang dekat di hati rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP mereka masukkan secara tidak langsung dalam iklan tersebut antaranya Mak Cik Kiah, pembelian secara dalam talian, TikTok dan abang servis penghantaran.

Katanya, turut ditonjolkan kelebihan memanfaatkan platform e-Dagang dan gajet terkini yang memudahkan perhubungan jarak jauh.

"Melihat sambutan yang diterima dan komen positif di media sosial, terasa berbaloi dan bangga dengan hasil kerja kami ini.

"Kerja praproduksi, penggambaran dan suntingan semuanya mengambil masa selama dua bulan dan menariknya untuk penggambaran, kami berjaya siapkan dalam tempoh 24 jam sahaja yang dilakukan secara tertutup di dalam sebuah rumah sewa dan selebihnya di studio green screen Stracomm," katanya.

Syauqi berkata, dalam iklan itu dia membawa watak utama dalam Raya Online 2020 sebagai Aydeen Mardia, iaitu seorang siswa USIM berasal dari Kota Marudu, Sabah yang tidak dapat pulang ke kampung kerana terkandas di kampus akibat PKP.

Katanya, tidak mahu terus dibelenggu rasa sedih dan kecewa akan beraya berjauhan buat kali pertama, dia tetap ingin meraikan kemeriahan Aidilfitri dengan bantuan 'jarak jauh' oleh ibu dan adiknya.

"Sesuatu telah menimpa pada Aydeen di pagi hari raya yang mengejutkannya.

"Mesej yang ingin kami bawakan melalui iklan tahun ini ialah 'Jauh dekat bukanlah ukuran, Syawal dirai, Kekeluargaan dieratkan'," kata pelajar Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah itu.

Dalam perkembangan berbeza, sebagai tanda sokongan moral kepada barisan hadapan dan mendoakan rakyat Malaysia untuk terus kuat dan bersatu hati dalam menempuh detik sukar akibat COVID-19, USIM melalui Pusat Kebudayaan turut melancarkan sebuah lagu khas yang berjudul We Pray For A Better World.

Dinyanyikan oleh warga kampus dan alumni, lagu itu turut menampilkan artis terkenal tanah air untuk berpadu suara bersama antaranya Datuk Nash, Datuk Ramli Sarip, Syura, Ayu Damit, Farawahida, Sahri, Rosma dan Akma.

Turut membuat penampilan khas dalam lagu itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Berita Harian X