X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 4:04pm
Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT). NSTP/PORTAL RASMI UMT
Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT). NSTP/PORTAL RASMI UMT

Penggabungan UMT-UNISZA tidak diteruskan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa.

Katanya, antara lain faktor itu merangkumi perbezaan fokus yang ketara, penyelarasan fakulti akademik dan institusi penyelidikan sedia ada, selain mengambil kira tahap kesediaan warga kedua-dua universiti dalam membentuk satu identiti tersendiri sebagai institusi pengajian tinggi baharu kelak.

"Kementerian mengambil serius pandangan setiap warga universiti dalam melaksanakan penggabungan ini dan meneliti kesan, jika penggabungan ini diteruskan terutama terhadap pembangunan mahasiswa bagi kedua-dua universiti.

"Penggabungan UMT dan UniSZA juga akan memadamkan kejayaan yang dicapai dalam mencipta identiti serta mengembangkan fokus tujahan masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa.

"Penggabungan itu turut dijangka akan membabitkan kos yang tinggi. Justeru, ia tidak akan diteruskan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA, selepas keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 September tahun lalu.

Perkembangan itu kemudian dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di Kuala Terengganu, yang menyaksikan kedua-dua institusi pengajian tinggi berkenaan bersetuju secara prinsip dengan penggabungan berkenaan menggunakan konsep gabungan sepenuhnya.

Susulan itu, sebuah jawatankuasa khas dibentuk yang dianggotai wakil pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar serta wakil daripada pelbagai agensi, kementerian serta pihak berkepentingan, bagi menggerakkan penggabungan berkenaan yang dijangka mengambil masa enam bulan untuk dimuktamadkan.

Percaturan penggabungan UMT dan UniSZA itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan majlis perwakilan pelajar.

Berita Harian X