Ahad, 12 Julai 2020 | 1:58pm
Laporan kejayaan Dr Masliza semalam - Foto NSTP
Laporan kejayaan Dr Masliza semalam - Foto NSTP

Kejayaan Dr Masliza jadi inspirasi

PUTRAJAYA: Kejayaan ahli akademik Malaysia, Dr Masliza Mahmod, yang dilantik sebagai Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford, United Kingdom, perlu dijadikan inspirasi oleh pelajar dan pensyarah negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata inspirasi itu kemudian mampu meningkatkan usaha penyelidikan dan kajian dalam bidang akademik sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Beliau percaya kejayaan Dr Masliza itu hasil kerja keras, ketekunan dan kesungguhan melakukan penyelidikan dalam bidang kardiovaskular.

Katanya Dr Masliza, anak kelahiran Batu Pahat yang mendapat ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Otago, New Zealand sebelum ini memperoleh ijazah Sarjana Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seterusnya melanjutkan pelajaran dan menjadi pensyarah di Universiti Oxford.

"Saya mendoakan beliau terus berjaya dan menyumbang lebih banyak penyelidikan besar kepada dunia perubatan," katanya dalam hantaran Facebook.

Noraini berkata Kementerian Pengajian Tinggi mengucapkan tahniah kepada Dr Masliza.

Sebelum ini media melaporkan, Dr Masliza, 47, melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai profesor madya bagi perubatan kardiovaskular yang juga menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Berita Harian X