Khamis, 3 Mei 2018 | 1:16pm
CALON BN bagi Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup (tengah) bersama bapanya, Tan Sri Joseph Kurup (empat dari kiri) dan para penyokong yang hadir di majlis pelancaran manifesto Pensiangan bagi PRU14 di Dewan Belia Nabawan, Pensiangan. - Foto Edmund Samunting

Terharu bapa jadi teman berkempen

PENSIANGAN: Dulu Arthur Joseph Kurup sering mengikut bapanya berkempen setiap kali pilihan raya, kini pemuda berusia 36 tahun itu ditemani bapanya pula ketika turun padang bertemu pengundi.

Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pensiangan itu berkata beliau terharu dengan sokongan bapanya, Tan Sri Joseph Kurup, yang juga bekas wakil rakyat di kawasan itu kerana sering bersamanya setiap kali berkempen.

"Bapa sudah membimbing saya selama 15 tahun sejak saya giat berpolitik, saya menemaninya berkempen setiap kali pilihan raya, namun kini dia pula menemani saya tanpa rasa penat walaupun bukan lagi calon.

"Satu perkara yang beliau sentiasa ingatkan saya sepanjang bersamanya dulu ialah dalam apapun perjuangan atau keputusan yang dibuat, kita harus sentiasa mendahulukan rakyat dan itulah yang saya amalkan sehingga kini,' katanya.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) beliau bagi Parlimen Pensiangan di Dewan Belia Nabawan di sini, hari ini.

Sementara itu, Kurup yang juga Presiden PBRS, berkata beliau yakin dengan kebolehan anaknya dan berpendapat Arthur adalah orang paling layak memimpin rakyat di kawasan Pensiangan.

"Sememangnya saya tiada kebimbangan terhadap Arthur, dia sudah mempelajari daripada saya dan syukur dia kini semakin matang serta sangat berkebolehan.

"Ketika mengikuti saya dulu, saya sering membawanya melawat kawasan yang masih ada golongan miskin dan miskin tegar, di situlah saya mendedahkan serta mengajarnya kenapa mendahulukan rakyat itu sangat penting.

"Dengan pengalaman itu, saya harap rakyat di Pensiangan akan memberi peluang kepada Arthur, berilah peluang kepada orang muda yang mempunyai komitmen tinggi dalam membantu penduduk di sini," katanya.

Terdahulu, Arthur mengumumkan empat teras dalam manifesto PRU-14 bagi kawasan Pensiangan iaitu memperkasakan bangsa menerusi pendidikan; memajukan daerah menerusi pembangunan ekonomi dan infrastruktur; sentiasa prihatin kepada keperluan sosial dan kebajikan; serta prihatin kepada keperluan dan masa depan belia.

"Antara perkara paling penting dalam manifesto yang saya lancarkan ini ialah memperkasakan pendidikan serta ekonomi masyarakat di kawasan Pensiangan.

"Ini kerana saya yakin hanya menerusi pendidikan dapat menyediakan anak-anak kita untuk peluang pekerjaan pada masa akan datang dan ini juga tidak akan terjadi sekiranya kita tidak memperkasakan ekonomi di sini," katanya.

Berita Harian X