Rabu, 19 September 2018 | 7:02pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Eizairi Shamsudin

Strategi politik Dr Mahathir punca pemimpin keluar UMNO

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti itu dipercayai hasil daripada strategi politik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penganalisis politik yang juga pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata Dr Mahathir dipercayai sedang memancing beberapa pemimpin UMNO untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tindakan itu dibuat bagi mengimbangi pengaruh Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan kembali cergas dalam politik sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Selepas Anwar menang PRK Port Dickson, sudah pasti akan wujudnya ‘kem Anwar’ dan ‘kem Mahathir’ dalam PH.

“Dengan adanya kemungkinan pertambahan Ahli Parlimen menyertai PH,

khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), akan dapat mengimbangi pengaruh Anwar dalam PH.

“Walaupun kedua-duanya mungkin akan menafikan, hakikatnya ini juga adalah persepsi rakyat ketika ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas tindakan dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang meninggalkan parti itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Awang Azman berkata, tindakan Dr Mahathir cuba menarik lebih ramai pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO menyertai BERSATU juga bertujuan merencatkan kemungkinan kebangkitan UMNO menerusi kerjasamanya dengan PAS.

“Ini kerjasama politik yang diidamkan UMNO, namun Dr Mahathir sudah dapat mencium suasana sentimen politik semasa dan memastikan ia tidak berjaya kerana ia dihebahkan terlalu awal, selain beliau juga berjaya menyekat kemungkinan kebangkitan UMNO dan PAS ini dengan lebih cepat,” katanya.

Ditanya sama ada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu membatalkan kerjasama dengan PAS bagi mengelakkan lebih ramai pemimpinnya meninggalkan parti, Awang Azman berkata kerjasama itu tidak sepatutnya menjadi masalah.

“PAS dengan UMNO mahu membentuk pakatan kerjasama politik, bukan bergabung kerana UMNO tidak dapat menjadi parti yang bersendirian, apatah lagi kini mempunyai musuh yang sama dengan PAS iaitu PH.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), DAP boleh bekerjasama dengan PAS, kenapa pula kerjasama PAS dengan UMNO ini tidak boleh dizahirkan,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan Mustapa serta pemimpin yang meninggalkan UMNO untuk menyertai BERSATU, Awang Azman berkata sama ada ia akan berlaku bergantung kepada rundingan politik antara mereka dengan Dr Mahathir.

“Mustapa yang dilihat bersih, berprestasi tinggi dan popular dalam kalangan rakyat berpotensi ditawarkan jawatan dalam Kabinet atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama.

“Ini berdasarkan luahan rasa tidak puas hati oleh Dr Mahathir terhadap prestasi Kabinet PH dan besar kemungkinan tokoh seperti Mustapa antara yang boleh ditarik dalam Kabinet,” katanya.

Berita Harian X