Rabu, 3 Oktober 2018 | 9:35pm
CALON Bebas bagi PRK Parlimen Port Dickson, Saiful Bukhari Azlan. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

'Bertanding sebagai simbol protes rakyat'

PENGALAMAN pertama sebagai calon pilihan raya banyak membuka mata Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap pelbagai perkara. Wartawan Syed Umar Ariff dan Rizanizam Abdul Hamid menemui usahawan muda itu bagi menyelami hati nuraninya.

Soalan: Anda menentang mentor sendiri. Pernah menyesal bekerja dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Jawapan: Tidak. Bagi saya, sebagai orang Islam, apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Tiada penyesalan.

Saya tidak nafikan, saya mendapat didikan politik pun secara tak langsung daripada beliau (Anwar). Sepatutnya beliau berbangga anak murid ini boleh sampai ke tahap bertanding melawannya. Ilmu yang saya ada semua daripada dia, dia yang memberi inspirasi.

Saya tidak tahu bagaimana untuk ‘melawan’ guru yang tentunya lebih hebat, tapi saya akan cuba kerana ini bukan pengakhirannya, sebaliknya permulaan saya dalam politik.

S: Kalau Anwar bertanding Parlimen Permatang Pauh atau Pandan, anda ikut?

J: Ada dua sebab saya bertanding di sini dan Anwar adalah sebab kedua. Sebab pertama ialah saya tidak dapat terima PRK diadakan tanpa alasan kukuh. PRK Port Dickson ini jelas mengangkat agenda peribadi Anwar. Ini tidak boleh menjadi trend. Sudah dua kali PRK dipaksa berlaku iaitu di Permatang Pauh dan Kajang. Lepas ini berapa kali lagi? Saya tak nak ia dijadikan budaya dalam sistem politik kita.

Ketika saya pilih bertanding di Port Dickson, saya cakap untuk move on. Saya tidak mahu guna menyerang peribadi lawan, buka balik cerita lama, itu maksud saya move on. Saya tak nak orang kaitkan saya dengan kes lampau. Saya serius dalam PRK ini. Penyertaan saya di sini juga sebagai simbol protes rakyat yang muak dengan permainan parti politik. Saya rasa ada penyusutan kepercayaan daripada rakyat kepada parti politik di kedua-dua belah pihak.


SAIFUL ketika berkempen sempena PRK Port Dickson di Teluk Kemang. Turut sama, isterinya, Nik Suryani Megat Deraman. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

SAIFUL ketika berkempen sempena PRK Port Dickson di Teluk Kemang. Turut sama, isterinya, Nik Suryani Megat Deraman. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

S: Siapa pesaing paling rapat?

J: Bagi saya, Tan Sri Isa Samad. Jika Permatang Pauh ialah Anwar, Datuk Seri Najib Razak ialah Pekan, maka Isa ialah Port Dickson. Ini akar umbi Isa. Bukan saya yang menjadi ancaman kepada Anwar, tapi Isa. Saya jumpa Isa pada hari penamaan calon dan memberitahu saya bersaing secara sihat. Beliau OK. Isa berani menegakkan prinsip untuk mempertahankan tempatnya bertapak, walaupun perlu keluar parti.

S: Peluang anda sendiri?

J: Saya tak nak pandang rendah pada calon Bebas lain seperti Stevie Chan. Dia ada manifesto yang baik dan ideologi. Saya hormati pendiriannya yang sama dengan saya iaitu menentang PRK yang sengaja diadakan ini. Dia juga ada peluang baik. Saya yakin boleh menang jika dapat 30 peratus undi daripada 49 peratus rakyat yang keluar mengundi.

Angka ini tidaklah tinggi sangat dan saya akan berusaha sedaya-upaya supaya tidak hilang deposit RM15,000.

Saya tidak akan sertai mana-mana parti politik jika menang. Gelombang bebas ini harus dipancarkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memberi harapan baharu kepada rakyat.

S: Penerimaan pengundi setakat ini?

J: Mengejutkan sebab mereka tidak bertanya soalan negatif. Semua positif dan menyambut baik. Ada jugalah perkara yang mereka bangkitkan dan saya terangkan segala-galanya. Apa yang saya tekankan adalah jaminan untuk tidak meletak jawatan dan kali seterusnya mereka mengundi adalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berita Harian X