Ahad, 28 Oktober 2018 | 4:55pm
ABDUL Yunus (tiga kiri) merasmikan Kejohanan Taekwando Tertutup anjuran Kelab Taekwondo Taiping di Taiping. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ABDUL Yunus (tiga kiri) merasmikan Kejohanan Taekwando Tertutup anjuran Kelab Taekwondo Taiping di Taiping. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Keputusan pemilihan PKR Perak 'luar biasa'

TAIPING: Keputusan pemilihan PKR di Perak semalam yang memihak kepada kem Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden, disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dan di luar jangkaan ramai pihak.

Setiausaha PKR negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata pihaknya kecewa kerana peratusan jumlah keluar mengundi kurang dari 50 peratus dan turut mempengaruhi keputusan pemilihan peringkat pusat.

“Dalam pemilihan semalam, difahamkan hanya 40 peratus dari lebih 60,000 jumlah pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Perkara itu sudah pasti memberikan kesan buruk terhadap ahli dan parti, sekali gus mencerminkan sikap sebenar mereka sebagai anggota PKR.

“Justeru, PKR negeri dijangka akan membuat ‘bedah siasat’ dalam masa terdekat.

“Buat masa kini kita sedang mendapatkan data dan maklumat berkaitan sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwando Tertutup anjuran Kelab Taekwando Taiping di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tiggi (ADTEC) di sini, hari ini.

Abdul Yunus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri berkata, beliau turut terkilan apabila hanya 142 daripada hampir 1,400 ahli PKR berdaftar di Cabang Parit Buntar diterajuinya keluar mengundi.

“Di Parit Buntar, kami sudah mengenalpasti permasalahan ini disebabkan kebanyakan ahli di sini adalah ahli lama dari tahun 1999 yang tidak aktif malah ada di antara mereka telah keluar parti dan meninggal dunia.

“Proses pemutihan juga akan dibuat kelak bagi memastikan perkara sebegini tidak lagi berulang pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pemilihan semalam, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan memenangi pemilihan di Perak mengatasi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti melebihi 2,000 undi bagi jawatan Timbalan Presiden.

Sementara itu, mengenai kejohanan taekwando dirasmikannya, beliau berkata kerajaan negeri turut menaja RM5,000 bagi kejohanan itu yang disertai 300 pelajar dari hampir 20 sekolah di daerah Larut Matang dan Selama.

Berita Harian X