Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:55pm
KETUA Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Abbas Azmi. - Foto Muhammad Sulaiman
KETUA Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Abbas Azmi. - Foto Muhammad Sulaiman

PH diancam pemimpin cari suaka politik - Abbas

SHAH ALAM: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Abbas Azmi, mendakwa Pakatan Harapan (PH) sedang diancam bekas pemimpin kerajaan terdahulu yang ingin mencari suaka politik.

Sehubungan itu, beliau berharap kepemimpinan PH untuk berhati-hati menerima kemasukan bekas pemimpin UMNO selepas tidak lagi menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ini yang menjadi kebimbangan ahli PH, kita tidak mahu bekas pemimpin kerajaan terdahulu berhijrah semata-mata untuk mencari suaka politik dan dahan untuk berteduh. Kalau setakat ahli UMNO biasa menyertai PH, ia tidak jadi masalah.

“Ya benar, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah bekas Presiden UMNO dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah bekas Timbalan Presiden (UMNO), tetapi mereka bersama PH sejak dari awal selepas menyedari UMNO gagal membawa prinsip perjuangan rakyat.

“Namun, kita tidak boleh menyekat kemasukan bekas pemimpin UMNO kerana PH bersifat inklusif. Apa pun, saya yakin kepemimpinan PH cukup mahir untuk mengendalikan perkara ini,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada PH wajar mengeluarkan senarai nama bekas pemimpin kerajaan terdahulu yang dilarang menyertai PH, Abbas berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan.

“Saya tidak fikir sampai kita kena keluarkan senarai nama ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), MP (Ahli Parlimen) atau bekas pemimpin UMNO yang dilarang sertai PH.

“Cukuplah kita pantau keadaan semasa. Jika mereka (bekas pemimpin) dipalit isu rasuah, kita tidak akan terima, malah ia bukan tertakluk kepada UMNO semata-mata. Kalau ada pemimpin atau menteri PH terpalit isu rasuah pun, kita tidak akan menerima mereka,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk A Kadir Jasin mendakwa seramai 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai parti itu tidak lama lagi.

Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, bagaimanapun tidak menafikan ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah untuk disiasat.

Perkara itu turut diakui Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang dilaporkan berkata ramai Ahli Parlimen UMNO dilamar menyertai BERSATU.

Berita Harian X