Ahad, 16 Disember 2018 | 10:39pm

Pemimpin UMNO sertai BERSATU perkembangan baik - Penganalisis politik

KUALA LUMPUR: Penghijrahan beramai-ramai bekas Ahli Parlimen UMNO kepada parti politik yang memiliki kuasa dalam kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk membolehkan Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, sudah dijangka.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, berkata ia perkembangan baik untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang ditadbir pemimpin Melayu dan Bumiputera.

“Kalau ada parti dapat majoriti dua pertiga di Parlimen, negara seharusnya bertuah kerana masih menjadi ‘Malay-led society’ dan mengekalkan adab dan adat Melayu sebagai komuniti pentadbir.

“Secara praktikal, asas urus tadbir negara telah ada sistem tersendiri dan terbukti berjaya mengekalkan keamanan, cuma integriti (parti memerintah) akan lebih baik daripada dulu,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau mengulas senario politik tanah air susulan krisis dalaman UMNO, yang menyaksikan bekas Ahli Parlimen UMNO keluar beramai-ramai kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Kartini mengakui landskap politik kuat dan dominan dipercayai satu formula berjaya untuk membangunkan Malaysia namun terdedah kepada salah guna kuasa dan rasuah.

Mengulas kemungkinan wujud kerjasama baharu antara parti politik tempatan, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri, Kartini berkata, ia selari dengan cadangan membubarkan UMNO.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu cawangan UMNO dibubarkan dan bersatu di bawah payung baharu, yang kini lebih bertenaga untuk membawa perubahan pada urus tadbir yang lebih berintegriti.

“Walau apa yang berlaku (lompat parti), PAS tidak akan bersendirian di blok pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata majoriti dua pertiga penting untuk kerajaan menggubal atau meminda undang-undang.

“Majoriti akan beri keyakinan besar kepada kerajaan dan membolehkan kepemimpinan mendapat mandat besar ke atas penginstitusian dan struktur kerajaan,” katanya.

Ditanya kredibiliti Barisan Nasional (BN) tercalar sebagai pembangkang, Sivamurugan berkata, BN perlu mencontohi DAP, PAS dan PKR, yang pernah menjadi pembangkang selama 61 tahun.

Katanya, parti politik berkenaan ketika menjadi pembangkang sering mengemukakan alternatif kepada dasar kerajaan dan secara efektif memerhati kerajaan.

“BN wajar jadi pembangkang kuat walaupun DNA selama 61 tahun adalah pemerintah. Pengundi memilih PH supaya wujud perbezaan dari segi kepemimpinan dan pentadbiran.

“Struktur bangkangan penting dalam konteks negara kita untuk memastikan wujud semak dan imbang kepada keputusan dan penyampaian kerajaan.

“Jika PAS boleh terus memainkan peranan pembangkang, ia akan terus menyuburkan amalan demokrasi,” katanya.

Berita Harian X