Isnin, 24 Disember 2018 | 9:20pm
AHLI Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad. - Foto Azhar Ramli

Terima positif kajian Invoke

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) seharusnya bersikap positif dan profesional dalam menerima keputusan atau maklum balas kaji selidik terhadap prestasi pemimpin dan kerajaan.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, berkata kajian yang didedahkan oleh Rafizi Ramli itu adalah satu tinjauan politik yang perlu bagi menilai prestasi semasa pemimpin dan kerajaan.

“Kita kena faham bahawa politik ini adalah satu bidang di mana suasana dan penerimaan orang awam terhadapnya sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

“Malah, saya secara peribadi menerima dengan positif mana-mana dapatan kajian baik dari INVOKE atau institusi kajian politik lain yang mengkritik prestasi kerajaan semasa.

“Saya tidak fikir tindakan beliau (Rafizi) mendedahkan sebarang kaji selidik ke atas pemimpin dan kerajaan adalah berniat untuk menjatuhkan kredibiliti mana-mana pihak kerana jika dia berniat begitu, secara automatik PKR turut menerima kesannya kerana kita juga sebahagian daripada kerajaan hari ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sebelum ini, Rafizi dalam satu kenyataan mendedahkan kaji selidik dikendalikan dua minggu lalu mendakwa penarafan terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri oleh rakyat Malaysia menyusut kepada 53 peratus, iaitu pengurangan kira-kira 20 peratus daripada semua kaum, berbanding 72 peratus pada Jun lalu.

Keputusan kaji selidik itu menimbulkan rasa kurang senang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan menganggap Rafizi seolah-olah sengaja merendahkan kredibiliti serta kepemimpinan Dr Mahathir ketika beliau mendapat sokongan majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Mengulas lanjut, Noor Amin yang juga Ketua Cabang PKR Kangar berkata, keputusan kaji selidik oleh mana-mana pihak adalah satu mesej kepada kerajaan untuk bertindak dalam mentadbir negara dengan lebih sistematik.

“Andai berlakunya penurunan trend atau maklum balas yang negatif terhadap prestasi kerajaan, itu adalah normal kerana ia dapat menyedarkan kerajaan untuk kembali ke landasan yang betul dalam mentadbir.

“Cuma saya rasa sesetengah pihak masih belum biasa menerima kritikan sekiranya mereka dinilai oleh mana-mana pihak dan mungkin ia perlukan masa bagi mereka,” katanya.

Terdahulu Noor Amin, menyampaikan sumbangan bernilai RM20,000 dalam bentuk peralatan sekolah kepada 200 kanak-kanak terpilih terdiri daripada golongan Asnaf di daerah ini dalam Program ‘Back To School’ 2019 Parlimen Kangar dan DUN Sena di Pasaraya Ten Ten.

Berita Harian X