Jumaat, 1 March 2019 | 9:21pm
- Foto Hiasan

Saki-baki UMNO akan sertai BERSATU - Penganalisis politik

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik menjangka masih ada saki-baki Ahli Parlimen UMNO dan PAS akan menukar haluan saat akhir dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus merealisasikan hasrat Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, berkata ia susulan kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa hanya ahli UMNO akan bergabung dengan BERSATU.

“Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH dengan terbuka mengakui hanya UMNO yang faham perjuangan BERSATU.

“Perdana Menteri meramalkan perwakilan UMNO dan PAS yang boleh berubah arah akan bergabung dengan BERSATU,” katanya kepada BH, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang parti gabungan Malaysia baharu itu akan mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat selepas tiga lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Kartini berkata, PH akan mendapat majoriti dua pertiga jika berlaku lompat parti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) atau PAS yang bergabung dengan BERSATU.

“Majoriti dua pertiga di Parlimen penting kepada parti Dr Mahathir untuk merealisasikan pindaan Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain termasuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan had pentadbiran Perdana Menteri kepada dua penggal saja,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dan pensyarah undang-undang, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yakin BERSATU, satu-satunya parti gabungan PH yang mahu menerima bekas Ahli Parlimen UMNO.

“Siapa yang akan melompat parti untuk melengkapkan majoriti dua pertiga kepada PH, boleh jadi sesiapa dan tidak semestinya Ahli Parlimen UMNO.

“Logiknya, tiada cara lain untuk dapat majoriti dua pertiga kecuali (ada) Ahli Parlimen pindah parti.

“Selagi tiada undang-undang yang mengawal selia isu lompat parti, tiada yang boleh menghalang (rundingan tawar-menawar membeli Ahli Parlimen). Apa saja mungkin berlaku dalam politik,” katanya.

Mengulas kemungkinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kartelnya masuk BERSATU, Nik Ahmad Kamal berkata, dakwaan itu hanya spekulasi.

“Jika Mohamed Azmin pindah ke BERSATU, ia tiada kesan dalam PH kerana mereka masih PH.

“Bagi PAS pula, kerjasama parti itu dengan UMNO membuatkan PAS tidak akan bersama PH. Lagipun PAS tidak akan bekerja dengan DAP,” katanya.

Ditanya sama ada ia perang saraf politik, Nik Ahmad Kamal berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih banyak isu timbul.

“Isu undi tidak percaya juga sebahagian perang saraf. Apabila timbul undi tidak percaya, timbul pula cerita lebih ramai Ahli Parlimen akan lompat parti,” katanya.

Malam tadi, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyuarakan keyakinan tiada lagi Ahli Parlimen UMNO yang membelot lompat parti.

Katanya, UMNO sudah menyelesaikan krisis dalaman parti dan tiada alasan kepada ahli UMNO mengkhianati parti berusia 71 tahun itu lagi.

Justeru, beliau yakin tidak akan ada lagi ahli UMNO termasuk ahli rakan kerjasama pembangkang iaitu PAS, meninggalkan partinya.

Berita Harian X