Khamis, 15 Ogos 2019 | 2:14pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada majlis pelancaran Pameran Perdagangan Satelit Wecommerce Lazada 2019 di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Henti desak Dr Mahathir letak jawatan - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim, dinasihatkan berhenti mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meletak jawatan dan sebaliknya tumpukan kepada isu masyarakat di kawasan diwakilinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sudah menghubungi Hassan sebaik desakan itu dibuat semalam dan mahu Ahli Parlimen Pasir Gudang itu menghentikan tindakan berkenaan.

“Beliau perlu menumpukan penyelesaian isu berkaitan rakyat di kawasan diwakilinya, bukan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.

“Tinggalkan (serahkan) kepada pucuk kepemimpinan PKR untuk menyelesaikan isu berbangkit (mengenai tuntutan) parti,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, melancarkan Pameran Perdagangan Satelit Wecommerce Lazada 2019 di sini.

Hassan, dalam paparan di Facebooknya semalam, mencadangkan Dr Mahathir meletak jawatan kerana mendakwa Perdana Menteri seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

Beliau yang mendakwa antara Ahli Parlimen menandatangani surat menyokong Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, turut menegaskan sumbangan negarawan berusia 94 tahun itu akan tetap dikenang lagi dihormati.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut mengulas mengenai tiga menteri Kabinet yang mahu penceramah bebas, Dr Zakir Naik, dilarang mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.

Merujuk kepada kenyataan menteri berkenaan, beliau berkata keputusan PKR akan diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekembalinya dari Makkah selepas menunaikan fardu Haji.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, dalam satu kenyataan bersama, berkata isu menyelubungi Dr Zakir yang menimbulkan kontroversi termasuk ceramah di Kota Bharu, Kelantan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut bersetuju dengan rakan Kabinetnya supaya Dr Zakir dihantar pulang susulan kenyataan kontroversinya terhadap masyarakat India dan Cina.

1683 dibaca
Berita Harian X