Isnin, 19 Ogos 2019 | 6:24pm
DATUK Seri Anifah Aman bersama peguamnya, Tengku Fuad Ahmad. - Foto Malai Rosmah Tuah

Tunggu keputusan SPR sebelum kemuka rayuan

KOTA KINABALU: Peguam Datuk Seri Anifah Aman menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tengku Fuad Ahmad berkata, pihaknya sudah bersedia memfailkan notis rayuan terhadap keputusan berkenaan, namun mahu menunggu sehingga SPR menyatakan keputusan sama ada turut memfailkan rayuan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, SPR hanya membuat keputusan dalam minggu ini sama ada mereka juga mahu membuat rayuan.

“Berdasarkan undang-undang, kita ada masa 14 hari dari tarikh keputusan itu untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, notis rayuan berkenaan akan difailkan di Kota Kinabalu.

“Sama ada SPR membuat rayuan atau tidak, ia tidak menjejaskan hak Anifah untuk membuat rayuan.

“Ini disebabkan keputusan hakim memberi kesan secara langsung terhadap hak dan kedudukan Anifah sebagai Ahli Parlimen Kimanis yang dipilih,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya berkenaan berikutan petisyen dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Karim memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Pada PRU-14, 9 Mei tahun lalu, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Anifah memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

1089 dibaca
Berita Harian X