Rabu, 11 September 2019 | 4:40pm
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Salahuddin Ayub. - Foto Adzlan Sidek

Amanat Haji Hadi ibarat kitab azimat PAS - Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA: Bekas pemimpin PAS yakin parti itu tidak akan menarik balik ‘Amanat Haji Hadi’ yang sudah dianggap ‘kitab azimat’ mereka.

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Salahuddin Ayub, berkata beliau yakin parti berkenaan tidak akan berbuat demikian walaupun akan memeterai piagam dan memorandum persefahaman (MoU) dengan UMNO, Sabtu ini.

“Itu (Amanat Haji Hadi) kitab azimat PAS. Kini mereka nak bersama (UMNO), bila nak berpisah nanti, kitab azimat itu akan dibuka semula. Ini berdasarkan pengalaman saya dalam PAS.

“Seperti kerjasama dengan DAP pada 2008, segala hujah pada masa itu kata boleh jalin kerjasama, tetapi pada 2015, PAS rasa perlu berpisah (keluar) daripada Pakatan Rakyat, jadi mereka keluarkan hujah (alasan baharu membenarkan tindakan keluar).

“Sebab itu saya katakan, sekarang (PAS) mesra dengan UMNO, tetapi tunggulah nanti bila nak berpisah. Sebab itu, kitab azimat (Amanat Haji Hadi) tidak akan ditarik balik,” katanya yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada media selepas melancarkan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) Jabatan Perikanan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta PAS menarik balik Amanat Haji Hadi sebelum memuktamadkan kerjasama dengan UMNO melalui pemeteraian piagam dan MoU pada Sabtu ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, PAS sejak dahulu menuduh UMNO sebagai parti kafir dengan kenyataan di dalam Amanat Haji Hadi, menyebabkan kerjasama baharu di antara dua parti itu sukar dilaksanakan.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga perlu meminta maaf secara terbuka kepada UMNO sebelum membuat perjanjian baharu berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama sebelum ini, mengumumkan kerjasama kedua-dua parti akan diputuskan melalui pemeteraian piagam dan MoU pada 14 September ini.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti pada majlis yang bakal dihadiri semua pemimpin UMNO serta PAS dari seluruh negara.

Berita Harian X