Rabu, 23 Oktober 2019 | 3:39pm
BEKAS Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktivit Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Kanun Keseksaan. NSTP/Saddam Yusoff

Nasharudin masih ahli PAS - Mohd Amar

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa yang didakwa terhadap tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan 30 pertuduhan pecah amanah jenayah, masih lagi ahli PAS.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bagaimanapun menjelaskan Nasharudin sudah tidak aktif sebagai ahli PAS selepas kalah dalam pemilihan Muktamar.

Tegasnya, PAS mengambil pendirian tidak akan menggugurkan keahlian Nasharudin sebagai ahli parti itu selagi tiada keputusan mahkamah.

“Dalam kes Nasharudin, beliau baru dituduh dan tidak tahu lagi sama ada beliau bersalah atau tidak. PAS tetap menganggap Nasharudin belum bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah.

“Begitu juga dalam kes Lim Guan Eng dalam isu pembelian banglo atau pemimpin UMNO lain. Namun, sekiranya Nasharudin didapati bersalah, terpulang kepada parti sama ada memecat keahliannya.

“Apa pun, tunggu keputusan mahkamah dan terserah kepada parti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Semalam, Nasharudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan 30 pertuduhan pecah amanah jenayah dengan jumlah keseluruhan RM3,979,739.40.

Berita Harian X