Selasa, 26 November 2019 | 2:28pm
KETUA Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pemecatan Zakaria tidak demokratik - Wanita PKR

KUALA LUMPUR: Wanita PKR membidas tindakan parti memecat Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid yang disifatkan pergerakan itu sebagai tidak demokratik.

Pergerakan itu turut menuntut parti memohon maaf kepada Zakaria atas tindakan melulu terhadap Ketua PKR Cabang Bera itu tanpa diberi peluang membela diri.

Ketua Penerangannya, Syarul Ema Rena Abu Samah, berkata tindakan memecat Zakaria adalah tindakan yang mengetepikan prinsip perjuangan parti iaitu keadilan dan demokratik.

Katanya, keputusan dibuat tanpa memberi ruang kepada Zakaria mempertahankan diri terhadap tuduhan dan amat tidak wajar Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan tanpa ada pembelaan.

Menurutnya, tindakan itu tidak selari dengan amalan demokrasi yang dilaungkan dalam kalangan ahli dan pimpinan parti.

“Zakaria tidak pernah didakwa, tidak pernah ditangkap dan tak terfikir bagaimana pula boleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencampuri urusan badan politik.

“Apabila saat pihak mengakui khilaf mereka, ketika itu Zakaria sudah dijatuhkan hukum dan dipecat oleh parti. Maka apa tindakan seterusnya?

“Ketidakadilan terhadap Zakaria perlu pembelaan dan perlu diberi ruang untuk memperjelaskan segala kekusutan. Oleh itu, biar kita berjiwa besar dan memohon maaf pada Zakaria atas tindakan melulu tanpa diberi peluang pembelaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Srikandi PKR meminta keputusan memecat Zakaria ditarik semula.

Ketuanya, Nurainie Haziqah Shafii, berkata pergerakan itu kecewa dengan tindakan yang tidak mempunyai prinsip keadilan apatah lagi apabila keputusan ini dibuat tanpa melalui proses dan asas yang betul.

“Ketidakadilan terhadap Zakaria perlu segera diperbetulkan supaya nama baik parti tidak terus tercemar akibat keputusan yang dangkal ini,” katanya.

Ahad lalu, Zakaria antara dua ahli PKR dipecat kerana terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan Zakaria dan Ismail Dulhadi, bekas Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkuat kuasa serta merta selepas Lembaga Disiplin PKR menerima bukti kukuh daripada SPRM.

Berita Harian X